MALAYSIAKINI
Persatuan Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) (Pagu) menggesa kerajaan supaya mengharamkan aplikasi Sugarbook.
Jelas Presidennya Mohd Sabaruddin Daud, usaha tersebut wajar dilakukan bagi membendung aktiviti yang dianggap tidak bermoral dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pagu menggesa kerajaan menerusi kementerian komunikasi dan multimedia Malaysia (KKMM) dan agensi seliaannya, suruhanjaya komunikasi dan multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberhentikan terus isu yang membarah ini melalui tindakan pantas dan berkesan dengan mengharam dan menyekat langsung portal berkenaan.
“Tindakan ini merupakan langkah pertama untuk membendung aktiviti tidak bermoral di kalangan rakyat Malaysia sebelum langkah seterusnya diambil seperti tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Kanun Keseksaan dan enakmen-enakmen undang-undang syariah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mereka juga berpendapat portal tersebut harus diberhentikan kerana jelas mempromosikan aktiviti yang jelas bertentangan dengan panduan hukum Islam.
Awal minggu ini, aplikasi Sugarbook kembali menjadi perhatian selepas menyiarkan tinjauan berkenaan senarai sepuluh universiti awam dan swasta yang mempunyai sugar baby paling ramai.
Bagaimanapun Sugarbook tidak menjelaskan sejak bila data berkenaan dikumpulkan.
Tinjauan itu juga menunjukkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar baby'.
Sementara itu Mohd Sabaruddin menjelaskan, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan cubaan untuk memburukkan imej institusi mahasiswa menerusi pendedahan data aplikasi terbabit.
“Maka seharusnya pihak berkuasa melakukan penyiasatan terperinci berkenaan perihal ini,” jelasnya.
Menyedari kekangan ekonomi akibat Covid-19, Pagi juga tidak menolak kemungkinan terdapat rakyat Malaysia yang dihimpit kesusahan tidak kira golongan pelajar universiti untuk terjerumus ke dalam aplikasi terbabit.
“Justeru, Pagu menyeru semua pihak bermula individu, institusi kekeluargaan, ahli masyarakat dan pihak berwajib untuk sama-sama berganding bahu membimbing dan membantu golongan tidak bernasib baik ini,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan