Khamis, 4 Februari 2021

Buku Tommy papar betapa berkuasanya Peguam Negara – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam pelantikan jawatan Peguam Negara, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
 
Beliau berkata, isi kandungan buku Tommy Thomas berjudul “My Story: Justice in the Wilderness” memaparkan betapa maha berkuasanya seorang peguam negara dan institusi tersebut.
“Perincian segala peristiwa yang dinyatakan dalam buku tersebut memaparkan betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
 
Sehubungan dengan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kerajaan perlu memikirkan dua reformasi penting berkaitan pelantikan Peguam Negara juga bidang ku
asa institusi di bawahnya.
 
Menurut beliau, perlantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula.
 
Katanya, lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang ditulis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.
 
“Malaysia mesti mempunyai tatacara perlantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara,” katanya.
 
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat juga meminta kerajaan memikirkan pemisahan antara jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya bagi mengehadkan pemusatan kuasa hanya kepada seorang individu.
 
Katanya, ia mungkin boleh dilaksanakan dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.
 
“Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan kearah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati dan berwibawa,” katanya.
 
Mengenai buku yang ditulis oleh bekas peguam negara itu, Mohamad berkata, beliau tidak ingin mengulas tentang isu, peristiwa dan pengkisahan Tommy.
 
“Itu memoir beliau dan pandangan beliau tidak semestinya benar, sahih dan berwibawa. Yang pasti beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang beliau tuliskan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: