Jumaat, 10 April 2020

Sesi persekolahan mungkin ditangguh

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa pembukaan sekolah mungkin akan ditangguhkan.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika mengumumkan pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang akan diteruskan sehingga 28 April ini.

"Sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal. Kita mungkin akan tangguhkan dahulu sesi persekolah sehinggakan kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

"Sementara itu, anak-anak kita perlu belajar di rumah," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Kata perdana menteri, beliau sudah meminta Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pembelajaran di rumah sepanjang PKP dan seterusnya sehingga sekolah dibuka semula.

Mengulas kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Muhyiddin mengingatkan bahawa rakyat tidak boleh kembali seperti kehidupan biasa, termasuk balik kampung dan ke bazar Ramadan.

“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih.

“Jadi bertarawih lah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

“Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadap,” katanya

PKP mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu dan pada mulanya dijadual tamat sehingga 31 Mac, sebelum dilanjutkan kepada 14 April, dan kini akan diteruskan lagi sehingga 28 April.

Ia antara langkah yang diambil kerajaan bagi menangani penularan Covid-19.

Malaysia setakat ini mencatatkan 4,346 kes. Daripada jumlah itu seramai 1,830 orang, atau 43 peratus telah sembuh.

Tiada ulasan: