Ahad, 5 April 2020

Poster Tamil: Selepas 63 tahun merdeka, perlukah lagi terjemahan?

Oleh Rafidahtul Aqilah Seri Lanang

 

Pemimpin MIC tak peka isu sensitif, jangan ulangi kesilapan PH


BANGI– Penggunaan bahasa Tamil yang bercampur dengan bahasa kebangsaan dalam poster ucapan sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini tidak boleh dipandang sebelah mata.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ini kerana, tindakan tersebut bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang harus diakui sebagai satu kesilapan.

Tegas beliau, tindakan itu juga sama sekali tidak perlu dipertahankan atas apa jua alasan.

“Saya terkejut apabila pemimpin MIC bertindak sedemikian, sedangkan MIC sebuah parti nasionalisme Malaysia yang matang jadi tidak sepatutnya perkara itu berlaku ataupun dilakukan oleh sebuah parti yang begitu lama ditubuhkan, sebelum merdeka, di mana bersama-sama UMNO dan MCA melakar kontrak sosial.

“Pemimpin MIC perlu belajar serta tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan Pakatan Harapan yang menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil dalam membuat kenyataan rasmi.

“Nampaknya mereka tidak peka langsung tentang perkara sebegini sensitif sehinggakan berlaku penggunaan bahasa Tamil yang mendapat kecaman yang begitu hebat daripada pelbagai pihak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, tular poster Saravanan memberikan ucapan ulang tahun ke-74 kepada RTM, di mana selain teks bahasa Melayu, poster itu juga mengandungi ucapan dalam bahasa Tamil.

Tindakan itu dikecam netizen yang rata-rata menganggap Saravanan bersikap seperti pemimpin kerajaan lama Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Ketua Pemuda MIC, R Thinalan mempertahankan tindakan berkenaan dengan menyatakan, ucapan di dalam bahasa Melayu diberi keutamaan, dan ucapan di dalam bahasa Tamil pula sekadar terjemahan.

Mengulas lanjut, Prof Kok Seong berkata, isu ini jika dipandang dari permukaan sahaja sememangnya dilihat kecil, tetapi jika dikaji secara mendalam pembinaan negara bangsa Malaysia berasaskan kepada pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu itu sendiri.

“Setelah 63 tahun menyambut kemerdekaan mengapa perlu ada terjemahan dalam bahasa lain, apa yang berlaku dalam penguasaan bahasa kebangsaan sehinggakan rakyat jelata masih tidak mengetahui bahasa negara dengan baik yang masih memerlukan terjemahan.

“Jadi ini satu isu yang lebih penting untuk kita tangani kerana kata kita gagal dalam pembentukan negara bangsa dalam aspek-aspek tertentu khususnya aspek bahasa Melayu, di mana masih terdapat rakyat yang tidak memahami bahasa Melayu sehingga memerlukan terjemahan dalam siaran rasmi,” katanya lagi.


Tiada ulasan: