Seorang
pemimpin kanan Bersatu menjangkakan jumlah kementerian untuk kerajaan
Perikatan Nasional pimpinan presiden parti itu akan sama seperti sebelum
ini.
"Saya rasa masih sama," kata Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Asari, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Terdahulu exco Selangor itu ditanya mengenai kemungkinan susunan kabinet Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.
Mengulas
hal itu Abdul Rashid berkata, terpulang kepada Muhyiddin untuk membuat
penentuan, namun mengingatkan ahli parlimen Pagoh itu baru saja
mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, iaitu pada 1 Mac lalu.
Menurut
Abdul Rashid, beliau juga tidak pasti bila kabinet Muhyiddin akan
dibentuk, namun menjangkakan akan berlaku selewat-lewatnya dua minggu
lagi.
“Sekarang perdana menteri sedang sibuk menguruskan
pentadbiran di pejabat beliau kerana baru sahaja dilantik sebagai
perdana menteri," katanya.
Ditanya mengenai pelbagai versi
'barisan kabinet' yang tular melalui media sosial, Adun Selat Klang itu
berkata, ia adalah palsu.
Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan pada pagi 1 Mac lalu untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan sebelumnya.
Tengah tengok resume
Beliau
dilantik selepas mengaku mendapat sokonan majoriti ahli parlimen
terdiri daripada sebahagian besar wakil Bersatu, selain BN, PAS dan
Gabungan Parti Sarawak.
Persefahaman itu dikenali sebagai Perikatan Nasional.
Beliau juga menerima sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sementara
itu, Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon berkata, ketika ini
Muhyiddin sedang meneliti prestasi calon-calon untuk barisan kabinetnya.
Justeru, kata bekas anggota PKR itu, Muhyiddin memerlukan masa sedikit untuk membuat keputusan.
"Sebaiknya tunggu pengumuman rasmi barisan kabinet baru daripada beliau.
“Buat masa sekarang perdana menteri sedang giat tengok resume barisan kabinet,” katanya.
Untuk
rekod, Mohd Rashid merupakan seorang daripada 11 ahli parlimen PKR yang
meninggalkan parti itu dan tindakan tersebut membawa kepada jatuhnya
kerajaan PH.
Mereka diketuai Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.
Sementara
itu, pemimpin Perikatan Nasional lain dilihat mengelak untuk menjawab
pertanyaan mengenai cadangan pelantikan menteri dalam kabinet baru.
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, misalnya hanya membalas “tiada” apabila Malaysiakini bertanyakan soalan tersebut.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, pula berkata tiada apa yang boleh beliau komen mengenainya.
Naib
Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, dan Ahli Parlimen Santubong Wan
Junaidi Tuanku Jaafar mendakwa tidak tahu-menahu sebarang maklumat
mengenai pembentukan kabinet baru.
“Saya tak tahu siapa yang dicalonkan,” jawab Ismail Sabri.
Wan
Junaidi pula berkata beliau hanya akan mengulas mengenai perkara itu
sekiranya nama-nama menteri tersebut telah disenaraikan secara rasmi.
“Maaf, saya tak tahu sebarang maklumat, melainkan nama-nama tersebut telah keluar, baru saya boleh komen,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan