Jumaat, 4 Oktober 2019

Wanita digilis, diseret bas

fazleen safina

 

Mangsa turut dilanggar kereta selepas gagal dielak

ALOR SETAR – Seorang pembantu jualan maut digilis sebuah bas selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor lembu, lalu terjatuh di tengah jalan raya di Kilometer 7.5 Jalan Kuala Nerang-Pokok Sena, dekat Padang Terap, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Noh Idris berkata, mangsa Cik Puspa Omar, 26, yang berasal dari Kuala Nerang itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan, selepas diseret kenderaan itu kira-kira 150 meter.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Pokok Sena ke Kuala Nerang.

“Ketika tiba di lokasi, seekor lembu melintas jalan dan mangsa gagal mengelak lalu merempuh lembu berkenaan, menyebabkan dia terjatuh di tengah jalan.

“Pada masa yang sama, sebuah bas dipercayai terlanggar mangsa dan menyeretnya sejauh kira-kira 150 meter (m) dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, selain itu, mangsa turut dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun selepas gagal mengelak mangsa.

“Pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, untuk bedah siasat,” katanya. -Bernama


Tiada ulasan: