Selasa, 15 Oktober 2019

UM buat laporan polis ke atas siswa laungkan ‘undur VC’

MALAYSIAKINI




Universiti Malaya telah membuat laporan polis ke atas tindakan seorang mahasiswanya yang melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universiti itu sejurus selepas menerima skrol ijazah, semalam.
Dalam satu kenyataan media, universiti itu berkata, tindakan pelajar berkenaan, Wong Yan Ke adalah biadap dan tidak dapat diterima sama sekali.
“Sehubungan itu, Universiti Malaya telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut. Kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan untuk tindakan sewajarnya diambil,” petik kenyataan itu.
Wong, semalam, sambil berjalan turun ke bawah pentas sempat berhenti sebentar, membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.
Dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.
“Universiti Malaya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang jelas tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol dan kelancarannya.
“Ia juga telah mencemarkan nama baik Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, juga para graduan dan seluruh warga UM,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: