Rabu, 2 Oktober 2019

Tanah Felda: Bicara kes saman Synergy terhadap Shahrir 26 Mac 2020

Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan dua hari bermula 26 Mac tahun depan untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta difailkan sebuah syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd terhadap bekas Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad berhubung isu tanah Felda.

Peguam Leonard D’Cruz yang mewakili Synergy Promenade memberitahu pemberita bahawa Hakim Mohd Sofian Abd Razak menetapkan 26 dan 27 Mac 2020 untuk tarikh perbicaraan selepas pengurusan kes saman itu dalam kamarnya hari ini.

“Mahkamah juga menetapkan 16 Okt ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata peguam itu.

Pada 4 Jun tahun lepas, Synergy Promenade selaku plaintif menyaman Shahrir, yang ketika itu pengerusi Felda, selaku defendan atas dakwaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu menyebabkan reputasi mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek yang sedang diusahakan.

Syarikat itu menuntut satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan itu serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang sesuai.

Tiada ulasan: