Selasa, 15 Oktober 2019

Provokasi graduan protes Naib Canselor UM sertai Kongres Maruah Melayu


Mohd Zaini Samsu Hadi

KUALA LUMPUR – Seorang graduan Universiti Malaya (UM) hari ini melakukan aksi yang mengejutkan di atas pentas apabila mengangkat plakad semasa selepas menerima skrol majlis konvokesyen.

Menerusi sebuah rakaman yang tersebar, graduan tersebut, Wong Yan Ke tiba-tiba mengeluarkan sekeping kertas warna kuning bersaiz besar daripada jubah yang dipakai sambil menjerit sebanyak tiga kali; ‘no rasis, ini tanah Malaysia’.

Tindakan itu dikatakan sebagai protes kepada penglibatan Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam  baru-baru ini.

Aksi Yan Ke yang tidak diduga itu kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Berdasarkan pencarian di Facebook, graduan terbabit menyatakan tindakannya itu sebagai tanda protes terhadap ucapan Abdul Rahim pada kongres berkenaan di Stadium Malawati Shah Alam, pada 6 September lalu yang didakwanya berunsur perkauman.

Yan Ke mendakwa, Naib Canselor UM bersikap rasis serta telah menyalahgunakan nama universiti untuk tujuan agenda parti politik malah mempersoalkan bukti akademik yang menyokong tuntutan dalam kongres yang sama.

“Saya pernah berbincang dengan beberapa orang pensyarah dari UM tentang Kongres Maruah Melayu. Sebenarnya mereka turut berasa terkejut dan malu dengan ucapan Naib Canselor pada hari tersebut.

“Mereka menentang perbuatan beliau yang menyalahgunakan nama UM untuk tujuan agenda parti politik malah mempersoalkan bukti akademik yang menyokong tuntutan beliau dalam kongres tersebut.

“Apa yang lebih menyedihkan ialah kritikan-kritikan ini hanya boleh berlaku di belakang pentadbir, mereka tidak berkuasa untuk mempersoalkan kebertanggungjawapan Naib Canselor terhadap kesilapannya. Sampailah pensyarah-pensyarah mula bertanya sama ada organisasi gerakan mahasiswa mahasiswi akan mengambil tindakan kali ini,” katanya menerusi hantaran di laman sosial tersebut.

Yan Ke turut mempersoalkan sama ada Naib Canselor UM berbuat demikian ekoran bimbang akan ditindas atau dikenakan hukuman ataupun terpaksa meletak jawatan ekoran perjawatannya itu merupakan lantikan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan.

Katanya lagi, meskipun Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pernah bangga mengatakan beliau telah mengembalikan autonomi kepada universiti tetapi kini empat universiti awam pula dipergunakan untuk menganjurkan kongres rasis itu sebagai balasan terhadap agenda politik konservatif UMNO-Pas.

“Ini merupakan satu amaran di depan mata kita yang tidak patut diabaikan lagi. Begitu jelas lagi nyata bahawa ahli politik hanya akan membelakangi prinsip integriti sekiranya konflik berlaku terhadap kepentingannya.

“Oleh itu, sebagai seorang warga universiti, setiap mahasiswa mahasiswi mahupun pensyarah bertanggungjawab dalam proses pendemokrasian kampus. Hak dan kuasa patut datang daripada kita dan hanya melalui prosedur pemilihan yang demokratik, barulah kita dapat memastikan akauntabiliti pemimpin universiti kita, seterusnya memastikan hak individu terlindung dan membatasi isu penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Difahamkan, graduan yang sama juga pernah terlibat dalam insiden ‘bergaduh’ dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam semasa lawatan Datuk Seri Najib Razak ke UM pada tahun lepas.

Sementara itu, MalaysiaGazette masih berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan UM bagi mengetahui keadaan sebenar yang berlaku. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: