PDRM pastikan proses penamaan calon,mengundi lancar
PONTIAN– Seramai 1,710 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan
bertugas dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang
berlangsungnya tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, di sini,
mulai 31 Oktober ini.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md
Din berkata, antara tugas-tugas ialah di saluran, di tempat mengundi,
menjaga keselamatan pada hari penamaan calon dan di tempat penjumlahan
undi.
“Kita telah meletakkan PRK ini dalam tiga
fasa iaitu fasa pertama pada hari penamaan calon, fasa kedua sepanjang
tempoh kempen dan fasa ketiga adalah pada hari mengundi.
“Keseluruhan kekuatan berjumlah 1,710
melibatkan 241 pegawai kanan dan 1,469 pegawai dan anggota. Daripada
jumlah itu, kita juga akan dapatkan bantuan dari luar daerah iaitu
seramai 845 orang terdiri daripada 93 pegawai dan 752 anggota,” katanya
kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini, hari
ini.
Ketika ditanya sama ada terdapat
penambahbaikan dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) PDRM
berdasarkan PRU lepas, Mohd Kamarudin berkata, tiada sebarang perbezaan
kecuali pertambahan anggota dan pegawai yang bertugas memandangkan
Tanjung Piai dijangka menjadi tumpuan.
“Kita juga percaya pihak-pihak yang
bertanding akan berusaha memastikan kejayaan parti mereka. Jadi kita
akan tingkatkan usaha untuk memastikan elemen-elemen yang boleh
mengganggu-gugat perjalanan proses ini dapat kita elakkan,” katanya.
Setakat ini, beliau berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan dengan PRK.
“Kita akan pastikan proses penamaan calon
dan proses mengundi akan berjalan dengan licin dan lancar termasuk
aspek keselamatan dan lalu lintas.
“Apa yang penting, saya harap mereka ini
(penyokong parti) bertenang, kawal diri dan tidak membuat sebarang
provokasi yang boleh menyebabkan sebarang insiden yang tidak diingini,”
katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memantau kesalahan jenayah siber sepanjang PRK ini.
Berkenaan dengan sebarang tangkapan
berkait dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)
di Johor setakat ini, Mohd Kamarudin mengesahkan tiada sebarang
tangkapan di Johor.
“Siasatan berkenaan perkara ini (LTTE)
dijalankan oleh pihak Cawangan Khas (Bukit Aman). Mereka mempunyai
maklumat-maklumat tersendiri (tapi) setakat ini, tiada sebarang
tangkapan dilakukan di Johor,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan