Ahad, 13 Oktober 2019

Polis akan sekat pemimpin selatan India sokong LTTE masuk Malaysia


Senthamizhan Seeman dikesan menyokong perjuangan kumpulan 
pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam dan dilihat kerap 
masuk ke dalam negara ini. (Gambar Reuters)
 
KUALA LUMPUR: Seorang ahli politik dari Selatan India, Senthamizhan Seeman yang dikesan menyokong perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan dilihat kerap masuk ke dalam negara, kini dalam pemerhatian polis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan menyiasat sejauh mana penglibatan Seeman dan sekiranya berasas, polis akan memohon Jabatan Imigresen menyekatnya memasuki negara.

“Ini bergantung kepada siasatan yang kita buat terhadap 12 individu yang ditahan sebelum ini kerana dikaitkan dengan LTTE, sama ada dia terlibat mempromosikan atau memberikan bantuan kewangan dan nasihat berkaitan LTTE.

“Kalau ada asas, kita akan buat permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk sekat dia masuk ke dalam negara. Kita sedia maklum Seeman memang banyak kali masuk ke dalam negara,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Setakat ini, polis berjaya menahan 12 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), termasuk dua Adun DAP.

Ayob Khan berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran Seeman di negara ini susulan gambarnya bersama Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran tersebar di media sosial tanpa sumber yang diketahui.

Sebelum ini, Kula Segaran berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat berhubung tuduhan beliau terlibat dengan kumpulan LTTE.

Kula Segaran berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah semata-mata berdasarkan gambar yang tersebar di laman media sosial tanpa sumber yang diketahui.

Kula Segaran sewaktu ditanya tentang pendiriannya mengenai LTTE berkata, beliau hanya bersimpati terhadap mangsa berikutan perkara yang berlaku di negara lain adalah urusan dalaman mereka.

Tiada ulasan: