Denda, penjara jika premis gagal letak notis amaran mulai tahun depan
SHAH ALAM – Sebanyak 4,332 notis dikeluarkan terhadap pemilik premis makanan dan
perokok sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok
di premis makanan yang berkuat kuasa sejak awal Januari tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor,
Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu 232 notis
dikeluarkan terhadap perokok kerana merokok di premis makanan manakala
4,100 notis lagi dikeluarkan kepada pemilik premis kerana terdapat kesan
rokok seperti puntung rokok dan abu rokok di premis mereka.
“Semua ini bagaimanapun tiada membabitkan
kompaun kerana kita masih di dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan dan
hanya pada 1 Januari 2020 baru kami akan mengenakan tindakan kompaun
kepada individu dan pemilik premis terbabit.
“Bermula 1 Januari 2020, jika perokok
ditahan mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun,
manakala premis makanan yang tidak meletakkan notis amaran juga boleh
dikenakan denda RM3,000 atau penjara enam bulan,” katanya kepada
pemberita selepas melakukan operasi larangan merokok di premis makanan
di sekitar Pusat Komersial Seksyen 7 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Dr Khalid menambah larangan merokok berkenaan juga membabitkan rokok elektronik dan shisha.
“Bagi shisha walaupun ia bukan dijual
oleh pemilik premis mereka juga boleh dikenakan tindakan sekiranya
shisha ini dihisap di premis mereka,” katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari lepas
hingga hari ini, 25,000 premis makanan sekitar Selangor telah diperiksa
dan pihaknya menyasarkan untuk memeriksa 40,000 premis makanan lagi
sebelum 1 Jan 2020.
“Sepanjang pemeriksaan ini kami juga dapati 4,300 premis masih berdegil tidak memaparkan papan tanda larangan merokok,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya ingin memberi
peringatan kepada pemilik premis mengenai tanggungjawab mereka untuk
meletakkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok
sebagaimana Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau
2004. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan