Mahkamah tetap 29 hingga 31 Oktober deposisi saksi warga China
KUALA LUMPUR– Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan lima hari bermula 6 April
2020 sebagai tarikh perbicaraan kes seorang penolong pengarah Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan lima lagi individu yang
berdepan 13 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan
sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga
asing.
Mahkamah
menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan
yang memohon kesemua tertuduh dibicarakan bersama atas alasan kesemua
pertuduhan melibatkan transaksi dan subjek yang sama.
Mahkamah
turut menetapkan 29 hingga 31 Oktober ini untuk deposisi bagi saksi
utama pendakwaan merupakan seorang warga China memberi keterangan.
Terdahulu,
Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal
Tan Abdullah, 66, Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34, dan Chien
Guan Chai, 36, masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan
di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan
Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, turut
mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.
Bagi dua
pertuduhan itu, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri
fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng
bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu
Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di
sini antara bulan Januari hingga Februari 2019.
Mohd
Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing didakwa atas dua pertuduhan
menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di
sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.
Lai pula
didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan
pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara
Januari hingga Mac 2019.
Untuk
kesemua pertuduhan itu, mereka masing-masingnya didakwa mengikut Seksyen
26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta
670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan tidak
melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua
pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di dua mahkamah di hadapan
Hakim Datuk Akhtar Tahir dan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul
Hamid.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Sementara
itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan
Hakim Mazdi Abdul Hamid menetapkan 14 Oktober ini untuk pengurusan kes
lima daripada tertuduh itu yang didakwa atas pertuduhan memalsukan sijil
kelahiran dan kad pengenalan.
Mahkamah
turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes Mohd Faizul yang
berdepan lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan
Pendaftaran Negara 1990.
Pada 12
September lepas, lima daripada mereka kecuali Mohd Faizal Tan
masing-masingnya mengaku tidak bersalah terhadap 14 pertuduhan di bawah
Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan
kerana memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama beberapa
individu antara Januari dan Mei 2019.
Untuk
kesemua pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466
Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika
sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Mohd
Faizul turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di bawah
Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana
mengeluarkan kad pengenalan atas nama Tan Xiu Xiu, Lim Hock Eng, Ewe
Chor Beng, Yang Xiaohong dan Pheh Jin Leong di Ibu Pejabat JPN Negeri
Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara 20 Sept
2018 hingga 3 Mei 2019.
Bagi
kesemua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh
dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000
atau kedua-duanya.
Pendakwaan
diketuai Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri
Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karim dan dibantu Mohd Amril Johari,
Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan
Shafiq Sazali. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan