MCA turut mempersoalkan pemilihan tarikh mengundi dan tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai yang bertembung dengan perhimpunan agung parti itu dan sekutu mereka Umno.
Sedangkan, dari sudut matematik, kata Presiden MCA Wee Ka Siong kebarangkalian itu amat kecil sekali.
“Kalau dari sudut matematik, ini soalan kebarangkalian!
“Jawapannya ialah 0.00000001 (peratus),” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi mengumumkan tarikh penamaan calon bagi parlimen itu pada 2 November manakala hari mengundi pula pada 16 November.
Ia bertembung dengan Perhimpunan agung Umno yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 November dan MCA pada 2 dan 3 November.
Menulis di Facebook beliau hari ini, Wee berkata pihaknya bersama Umno akan berbincang bagi menentukan tarikh baru perhimpunan masing-masing bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil.
“Nampaknya MCA dan Umno perlu membuat pengubahsuaian bagi menghadapi cabaran terbaru ini.
“Apa sekali pun, itu semua sudah dijangka dan sebab itu mesyuarat jawatankuasa pusat MCA sudi tunda AGM (perhimpunan agung) sekiranya bertembung dengan tarikh PRK ini,” katanya.
Umno turut menyelar pemilihan tarikh itu oleh SPR dan menganggap suruhanjaya itu memmpunya “niat yang tidak berapa baik”.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA dan ketua parti berkenaan Wee Jeck Seng telah menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum tewas pada PRU14 kepada Dr Farid.
Bagaimanapun Umno bersama PAS melalui kerjasama Muafakat Nasional telah melobi untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Untuk rekod, tarikh yang ditetapkan oleh SPR pada PRK Sandakan 11 Mei turut bertembung bersama Kongres Khas DAP pada 5 Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan