Selasa, 8 Oktober 2019

Anggota polis maut rempuh van

Safuri Kamarudin
 
 

ANGGOTA polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh van dalam kemalangan berhampiran stesen minyak di Kampung Dusun, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 4.51 petang itu, mangsa, Lans Koperal Muhammad Zarith Mat Rizan, 27, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dilaporkan dari arah Kelang Lama menuju Kulim manakala van dari arah bertentangan.

Beliau berkata, van dipandu individu berusia 34 tahun itu dilaporkan membelok ke kanan dan memasuki laluan bertentangan menuju ke stesen minyak berhampiran.

“Mangsa yang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa maut serta-merta manakala pemandu van terbabit tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: