MARANG: Umat Islam di seluruh negara wajib bangkit
menukar kerajaan yang memerintah hari ini, jika tidak ada tindakan
segera diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina Rasululllah SAW.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan
Ibrahim Tuan Man mendesak, kerajaan Pakatan Harapan menyemak kembali
undang-undang yang menghina Nabi, agar lebih keras dan tegas termasuklah
kembali kepada hukum Allah SWT.
Ini kerana, katanya undang-undang yang sedia ada terpakai sangat longgar dan tidak menakutkan.
“Jika ada orang menghina Nabi SAW hari
ini dan kerajaan yang sedia ada tidak bertindak segera, kita wajib
bangkit menumbangkan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Kita bukan sahaja mengharap kerajaan
menangkap dan menghukum, tetapi perlu diadakan semakan undang-undang
terhadap yang ada, yang bagi kita undang-undang yang sedia ada ini
sangat longgar, tidak menakutkan.
“Denda RM3,000 sama seperti denda orang
khalwat. Denda hina Rasulullah, sama dengan denda minum arak,” ujarnya
ketika berucap pada Himpunan Aman Bantah Penghinaan Kepada Rasulullah di
pekarangan Masjid Rhu Muda, selepas solat Jumaat, hari ini.
Menurutnya, kuasa politik yang diamanahkan itu bukan tempat mencari kesenangan dunia tetapi bagi mempertahankan agama Allah SWT.
“Kita kena ingat kemenangan tidak ada
makna kalau Nabi kita dimaki hamun dan dicerca. Ingat, harta benda kita
tidak ada nilai jika Nabi dicerca dan kita berpeluk tubuh tidak
bertindak sesuatu.
“Himpunan kita ini sebahagian dari
kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Himpunan kita bukan hanya
membantah orang hina Nabi tetapi mengajak orang bersama kita, dengan apa
yang ditinggalkan oleh Nabi SAW,” jelasnya.
Timbalan Presiden PAS itu menegaskan,
kepada mana-mana pihak sama ada Islam atau non-muslim agar tidak
mengulangi kesilapan mereka yang menghina Nabi SAW.
“Peringatan kita kepada mana-mana pihak sama ada Islam atau bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu.
“Kalau kamu hina Nabi, kamu bersedia
berdepan dengan kami semua yang akan bangkit mempertahankan Nabi kami,
Insya’Allah,” tegasnya dihadapan lebih 2,000 umat Islam.
Hadir sama dan turut berucap pada
himpunan aman itu, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (Dun)
Teregganu, Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan
Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan Ketua Pemuda Marang, Ustaz Muhammad
Yusof Abdul Hadi.
Pada himpunan itu, pelbagai slogan
dipamerkan melalui playkad dan banner seperti ‘Kami Rela Mati Demi
Rasulullah, Sabar Kami Ada Batas!’, ‘Jangan Cabar Kesabaran Umat Islam’,
‘Himpunan Ummah Bantah Hina Nabi SAW’, dan banyak lagi.
Sumber Harakah memaklumkan, puluhan masjid mengadakan bantahan itu di seluruh negeri Terengganu, dari Kemaman hingga ke Besut. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan