Sabtu, 23 Mac 2019

VIDEO | Dihalang solat Jumaat: Mana Mujahid, Waytha Moorthy?

ISMA WEB


Pemuda UMNO desak pemimpin 'Malaysia Baru' bertindak tegas

BANGI – Satu video memaparkan seorang lelaki beragama Islam mendakwa dihalang oleh majikannya berbangsa Cina untuk menunaikan solat Jumaat, tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi video berdurasi lebih tiga minit itu, individu terbabit memberitahu bahawa dia baru sahaja melapor diri untuk bekerja di syarikat Tiong Joo Sdn Bhd yang beroperasi di Mount Austin, Johor Bahru.

Menurutnya, sewaktu ditemuduga iaitu sehari sebelumnya, majikannya memaklumkan bahawa pekerja beragama Islam tidak dibenarkan untuk solat Jumaat.

“Hari ini dia sekali lagi cakap bahawa tidak boleh sembahyang. Dan bila saya balik ke office sini dan bertanya mengenai solat Jumaat, dia tak boleh terima.

“Dia kata kalau you sembahyang punya orang, you boleh berhenti. Saya kasi gaji you jalan,” katanya, selain turut memberitahu tidak mahu orang Melayu Islam lain turut menjadi mangsa ‘diskriminasi’ syarikat berkenaan.

Video berkenaan mula tersebar sehingga menerima banyak perkongsian oleh pengguna media sosial, termasuk di aplikasi Whatsapp. Ia turut mendapat respon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini, Asyraf mempersoalkan peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan menteri yang menjaga portfolio perpaduan, P Waytha Moorthy.

“Di mana Menteri Hal Ehwal Agama YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa? Di mana Menteri Perpaduan, P Waythamoorty? Jangan hanya berani bersuara bila menyentuh isu-isu yang diketengahkan DAP.

“Saya mendesak agar kedua-dua pemimpin Malaysia Baru ini untuk bertindak segera dan tegas,” katanya.

Asyraf berkata, jika di kebanyakan negara Barat seperti United Kingdom (UK), majikan boleh diambil tindakan jika menghalang pekerja solat atau melakukan ibadah mengikut agama masing-masing.

“Bahkan perlakuan tersebut dianggap rasis, apakah di Malaysia kita harus berdiam diri begitu sahaja?

“Di mana pemimpin DAP yang banyak menuduh dan memfitnah orang lain rasis sedangkan perlakuan majikan ini terang-terang berkelakuan rasis dan diskriminatif kerana menghalang pekerja Islam bersolat,” katanya.



Tiada ulasan: