Ahad, 24 Mac 2019

Syed Saddiq pertahan penggantungan AAM


   
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan langkah kerajaan menggantung Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sebagai badan penyelia permotoran negara.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak mengulas pelantikan Mokhzani Mahathir menerajui Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), badan yang dijangka mengambil alih fungsi AAM.

Mokhzani merupakan anak sulung Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq juga tidak menjawab soalan sama ada dia sebelum ini "melobi" badan perlumbaan motosikal antarabangsa untuk mengiktiraf MAM seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

"AAM digantung oleh Suruhanjaya Sukan kerana melanggar peruntukan Akta Pembangunan Sukan 1997. Banyak amaran sudah dikeluarkan sebelum ini.

"Penting bagi badan kawal selia antarabangsa untuk peka perkara ini dan mengambil sebarang langkah yang perlu. Kita tidak mengarahkan apa yang mereka perlu lakukan.

"MAM sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 untuk mengendalikan acara pemotoran negara.

"Ia berkuatkuasa sejak dulu, sebelum saya menjadi menteri," kata kenyataan Syed Saddiq kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjawab persoalan sama ada pelantikan Mokhzani sebagai presiden MAM akan menimbulkan kebimbangan nepotisme.

Laporan The Malaysian Insight sebelum ini mendakwa Syed Saddiq mengirim surat kepada International Motorcycling Federation yang berpusat di Switzerland pada Sept tahun lalu, untuk merestui MAM sebagai badan pengendali permotoran Malaysia.

"Menteri (belia dan sukan) bertanggungjawab ke atas pembangunan semua sukan di Malaysia,
termasuk permotoran. Surat ini untuk mengesahkan bahawa kementerian mengiktiraf MAM sebagai badan yang mentadbir Persekutuan Permotoran di Malaysia," kata surat itu seperti didakwa.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Sukan, pihak mereka memutuskan untuk membatalkan status AAM pada penghujung 2018 selepas AAM "melanggar peraturan" dengan tidak menghantar laporan hujung tahun dan tidak meminda perlembagaannya.

Bagaimanapun, Pejabat Suruhanjaya Sukan hanya mengesahkan keputusan itu kepada media awal bulan ini.

Khamis lalu, Mokhzani didedahkan sebagai presiden baru MAM.

Mokhzani pada 2016 meletakkan jawatan sebagai pengerusi Litar Antarabangsa Sepang, beberapa bulan sebelum Mahathir dan Bersatu menggiatkan kritikan terhadap Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Tiada ulasan: