Sabtu, 16 Mac 2019

SST ganti GST untuk kurangkan bebanan kini hanya tinggal retorik

Kasthuri Jeevendran
 
 Kenneth-Eswaran-681x454




KUALA LUMPUR – Janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui manifesto mereka terbukti hanya retorik apabila sebahagian besarnya dibiar tidak tertunai, malah alasan demi alasan diberikan sehingga kini.

Lebih menyakitkan apabila janji tidak tertunai itu bertukar pula menjadi beban yang menyesakkan dada rakyat sehingga menyebabkan keadaan menjadi jauh lebih ‘teruk’ daripada dahulu.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI), Tan Sri Dr Kenneth Eswaran berkata, janji kerajaan PH untuk memperkenalkan sistem percukaian yang mesra rakyat rupanya hanya gula-gula bagi mengaburi mata pengundi.

Hakikatnya jelas beliau, jurang kesusahan yang lebih besar menanti rakyat setelah terpedaya dengan muslihat meraih undi mereka.

“Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan September tahun lalu telah meningkatkan kos perniagaan di kalangan pengeluar Malaysia sebanyak 10 peratus.

“Kajian oleh Persekutuan Pengeluar Malaysia (FFM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi (MIER) itu menyokong pendapat Presiden FMM, Datuk Soh Tian Lai bahawa 85 peratus pengeluar Malaysia menyaksikan peningkatan kos pengeluaran berikutan pelaksanaan SST bagi separuh tahun kedua 2018,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Kenneth, kerugian yang terpaksa ditanggung ramai peniaga membuktikan bahawa kajian oleh FFM dan MIER itu bukan satu cerita bohong.

“Perkara ini amat memberi kesan khususnya kepada peniaga kecil dan sederhana dan ia diburukkan oleh pelbagai faktor.

“Selain pelaksanaan SST, turut menyumbang kepada kerugian itu ialah pelaksanaan gaji minimum, perang perdagangan China – Amerika Syarikat dan ketidaktentuan peringkat global,” jelasnya.

Mengulas lanjut Kenneth berkata, pada dasarnya SST diwujudkan sebagai ganti kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat sebelum ini namun entah di mana silapnya, ia turut menjadi pencetus derita tidak berkesudahan.

“Pelaksanaan semula SST pada awalnya dicanangkan untuk meringkan beban rakyat namun nampaknya ia hanya sekadar angan-angan.

“Kos sara hidup semakin meningkat meskipun kadar inflasi dikatakan hanya sekitar 1 peratus,” katanya.

Kenneth menambah, barangan keperluan harian seperti makanan dan minuman tidak beralkohol terus meningkat sejak Januari tahun ini walaupun indeks keseluruhan Indeks Harga Pengguna (CPI) menurun sebanyak 0.7 peratus.

“Indeks keseluruhan untuk makanan dan minuman tidak beralkohol mencatatkan peningkatan 1 peratus sejak Januari 2019 dengan sebahagian besar kenaikan berkisar kepada produk seperti daging, telur, sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Kerajaan jelas beliau, perlu segera menunaikan segala janji dibuat sebelum sokongan rakyat bertukar menjadi amarah yang tidak mampu dibendung lagi.

“Cukuplah bercakap mengenai dendam lama pada kerajaan sebelum ini.

“Sekarang ialah masa untuk bertindak dan berkhidmat kepada rakyat, bukan lagi waktu berhikayat kisah lama yang seharusnya dilupakan sejak mengambil alih pemerintahan,” katanya. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: