Sabtu, 16 Mac 2019

Menteri mohon maaf kes bayi tidak dibenar dapatkan rawatan

Mohd Zaini Samsu Hadi
Dr. Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad hadir pada sidang media khas mengenai perkembangan semasa pencemaran udara sisa bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL
 

PASIR GUDANG – Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memohon maaf berhubung insiden seorang ibu yang tidak dibenarkan membawa bayinya untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan awal di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Menteri Kesihatan berkata, beliau kesal dengan insiden tersebut dan berharap ia tidak akan berulang lagi.

Menurut Dzulkefly, kakitangan perubatan termasuk doktor dan juga jururawat terkejut setelah mengetahui kejadian itu dan setakat ini ia merupakan insiden kali pertama dilaporkan berlaku.

“Walaupun kes ini tidak berat, tapi sangat malang ia telah berlaku. Minta maaf.

“Saya pun bertanya mengapa telah berlaku kes seperti itu dan doktor-doktor serta nurse dan staff agak terkejut kerana kita tidak langsung meminta akan mykid dan sebagainya.

“Ini telah berlaku satu kes dan saya harap ia dapat ditangani segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Stadium MPPG di sini hari ini.

Dzulkefly menjawab soalan wartawan berhubung insiden melibatkan ibu kepada empat orang anak yang tidak dibenarkan masuk bayinya berumur setahun bagi mendapatkan rawatan di pusat berkenaan setelah mengalami alahan ekoran pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di sini.

Kejadian berlaku tengahari tadi apabila wanita tersebut meluru ke arah sekumpulan wartawan yang sedang berada di satu sudut di stadium tertutup itu bagi melaporkan perkembangan semasa insiden di pusat rawatan awal itu.

Wanita tersebut mendakwa, beliau tidak dibenarkan masuk ke dalam pusat rawatan berkenaan oleh seorang petugas yang menjaga pintu masuk hanya semata-mata terlupa membawa kad pengenalan diri (Mykid) bayinya.

Katanya, petugas terbabit turut menunjukkan sikap ‘acuh tidak acuh’ kepadanya sehingga dia membuat keputusan

untuk mebawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Bagaimanapun ketika mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kejadian itu berlaku di pintu masuk ke pusat rawatan berkenaan dan bukannya di dalam pusat operasi rawatan.

Sementara itu, Dzulkefly ketika membentangkan perkembangan terkini mengenai status mangsa yang terkesan akibat pencemaran itu memberitahu, sehingga hari ini jumlah keseluruhan yang dirawat adalah sebanyak 3,976 orang.

Katanya, jumlah itu merupakan jumlah pesakit yang dikumpul dari seluruh Pasir Gudang dan beberapa kawasan lain.

Tambah beliau, sehingga pukul 2 petang tadi seramai 17 orang dimasukkan ke wad manakala sebanyak 244 orang merupakan mangsa baharu yang diterima hari ini.

Jelasnya, jumlah pesakit dimasukkan dalam wad menunjukkan perkembangan positif apabila 371 pesakit yang dicatatkan berada di wad pukul 9 pagi tadi berkurangan kepada 131 pesakit pada pukul 2 petang tadi.

Katanya lagi, tidak ada lagi mangsa yang diberikan alat bantuan untuk pernafasan dan jumlah yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi masih kekal lapan orang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: