Sabtu, 23 Mac 2019

SPRM mungkin panggil Hadi

Fitri Nizam
 


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang untuk siasatan pembayaran wang RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, enggan mengulas apabila ditanya bila Hadi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, sehingga hari ini sekurang-kurangnya 25 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan... kita tak pernah mengumumkan kata siasatan sudah ditutup. Akan ada beberapa lagi individu dipanggil untuk melengkapkan siasatan.

“Ini satu perkara saya tidak menolak kemungkinan (merujuk kepada akan memanggil Hadi untuk memberi keterangan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Tayangan Perdana Video Pendek (PSA) Anti Rasuah bersama Lotus Five Star (LFS) Cinema di Kuala Terengganu, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Rewcastle-Brown mengesahkan beliau menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman difailka Hadi terhadapnya di luar mahkamah pada Februari lalu.

Bagaimanapun, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menafikan membuat pembayaran berkenaan sama ada daripada pihak parti mahu pun dirinya sendiri.

Tiada ulasan: