Angin ribut yang berlaku hampir sejam petang tadi
menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar perkarangan
Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di Slim River selain menerbangkan
bumbung beberapa asrama dan jabatan, mengakibatkan seorang pengawal
keselamatan PSAS cedera.
Menurut Pengarah PSAS, Dr Naimah Md Khalil, kebanyakan bumbung bangunan tinggi seperti asrama dan fakulti yang terletak di kawasan tinggi diterbangkan angin ribut itu.
“Setakat ini, walaupun banyak pokok tumbang dan atap diterbangkan, Alhamdulillah saya difahamkan tiada pelajar dan staf yang cedera. Kita masih menilai tahap kerosakan.
“Cumanya kita agak risau dengan satu program rasmi iaitu Karnival Sains dan Teknologi 2019 yang akan berlangsung esok kerana khemah-khemahnya rosak diterbangkan ribut. Ia akan dirasmikan oleh exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Mohd Fazrul Azuan Norman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.41 petang dan sejurus itu, sebuah jentera bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian.
“Terdapat seorang mangsa cedera terkena serpihan siling asrama dan dia telah dibawa pergi oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan