Selasa, 5 Mac 2019

Penjelasan Teresa Kok isu buluh ganti sawit

DENYUT REFORMASI


KUALA LUMPUR - Menteri Industri Utama, Teresa Kok menjelaskan bahawa tanaman buluh bagi menggantikan kelapa sawit sebagaimana disiarkan Mingguan Malaysia hari ini hanyalah sebagai cadangan alternatif.

Beliau memberitahu, selain buluh, yang turut dicadangkan termasuklah nanas dan kelapa.

Sehubungan itu, tajuk laporan Mingguan Malaysia hari ini `Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh' dianggap beliau sebagai tidak wajar walaupun isi kandungannya boleh diterima.

Berikut merupakan kenyataan penuh Teresa berkenaan isu tersebut:

1) Saya ingin merujuk kepada laporan akhbar yang bertajuk 'Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh' yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2019.

2) Tajuk laporan akhbar ini adalah tidak wajar walaupun isi kandungan laporan tersebut boleh diterima.

3) Dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Projek The Valley @ Bentong, Pahang, semalam, saya ditanya oleh pemberita berkenaan hasrat kerajaan untuk mengehadkan perluasan penanaman kelapa sawit.

4) Justeru, saya menjelaskan bahawa tujuan kerajaan berbuat demikian adalah sebagai salah satu langkah bagi melawan sentimen anti-minyak sawit di Eropah yang kini telah menjejaskan pengeksportan minyak sawit kita ke pasaran global khususnya negara-negara Eropah.

5) Sehubungan itu, Kementerian Industri Utama di bawah saya sedang mengambil langkah untuk melawan pengaruh kempen anti-minyak sawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat.

6) Saya juga memberitahu wartawan dalam sidang akhbar semalam bahawa harga minyak sawit Malaysia telah jatuh dengan agak teruk pada tahun lepas. Ini sekali gus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil.

7) Oleh sebab itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menasihati rakyat, malahan termasuklah kementerian saya agar tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis tanaman. Perdana Menteri menegaskan adalah penting bagi negara kita untuk mengkaji penanaman jenis tanaman yang lain.

8) Buluh, nanas dan kelapa yang saya sebutkan semalam adalah sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil yang selama ini sangat bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

9) Kenyataan saya juga hanya rujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh.

10) Pemilihan tanaman yang lain adalah bergantung kepada kesesuaian tempat. Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nenas atau pokok durian.

11) Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeliruan dapat dirungkaikan. 

Tiada ulasan: