Khamis, 14 Mac 2019

Penguatkuasaan tegas perlu diambil lindungi alam sekitar

Muzaffar Syah Mallow
Penguatkuasaan tegas perlu diambil lindungi alam sekitar
Penting supaya proses penguatkuasaan terhadap undang-undang sedia ada diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan sebarang aktiviti yang boleh menjerumus kepada proses pencemaran. - Gambar hiasan


PENGUATKUASAAN tegas perlu diambil oleh semua agensi yang berkaitan bagi melindungi alam sekitar dalam negara kita. Ini susulan pendedahan pelbagai isu yang berkaitan dengan beberapa insiden pencemaran yang berlaku di dalam negara kita semenjak kebelakangan ini seperti seperti pencemaran bahan kimia yang berlaku di Pasir Gudang, Johor sehingga menjejaskan kesihatan para penduduk di sana khususnya pelajar sekolah serta pencemaran yang berterusan berlaku di kawasan tanah tinggi seperti di kawasan tanah tinggi Cameron Highland, Pahang sehingga mencemarkan keadaan sungai di sana.

Isu pencemaran alam sekitar ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak kerana kesan negatif yang berpanjangan yang boleh dibawa melaluinya seperti kesan buruk terhadap tahap kesihatan manusia sekeliling, kesan buruk terhadap haiwan-haiwan, kesan buruk terhadap keadaan tanah, kesan buruk terhadap udara, kesan buruk terhadap kualiti air dan lain-lain lagi. Sekiranya kegiatan pencemaran tidak dibendung dari sekarang, pencemaran yang berlaku ini boleh juga menjejaskan reputasi negara kita di mata masyarakat antarabangsa. Adalah penting supaya proses penguatkuasaan terhadap undang–undang sedia ada diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan sebarang aktiviti yang boleh menjerumus kepada proses pencemaran sama ada pencemaran tanah, pencemaran udara ataupun pencemaran air.

Antara undang-undang perlindungan alam sekitar yang paling penting yang perlu digunakan bagi melindungi alam sekitar dalam negara kita serta yang perlu digunakan secara tegas bagi membawa yang pihak-pihak didapati bertanggungjawab melakukan sebarang kegiatan yang boleh membawa kepada pencemaran ialah melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127]. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] merupakan suatu akta berhubung dengan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan membaiki alam sekeliling dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya. Ia telah dikuatkuasakan pada 15 April 1975 dan sejak itu ia telah mengalami beberapa proses pindaan.

Proses penguatkuasaan akan diambil oleh agensi yang berkaitan khususnya oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC). Fungsi utama Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan memperbaiki alam sekeliling, selaras dengan maksud Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [127] dan peraturan-peraturan yang ada di bawahnya. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] memperuntukkan lima perkara yang menjadi tumpuan utama iaitu pencemaran udara, pencemaran bunyi bising, pencemaran air, pencemaran tanah serta kawalan buangan terjadual. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] juga menetapkan syarat-syarat atau kadar, bilangan, jumlah serta kekerapan pelepasan bahan-bahan cemar sebelum sesuatu lesen dikeluarkan. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] juga menetapkan syarat untuk mendapat kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan sebelum sesuatu aktiviti dilakukan.

Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127], mana-mana orang terlibat secara langsung dengan sebarang aktiviti yang mencemarkan persekitaran yang berlawanan dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] ini, jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan dengan hukuman yang keras. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] juga melibatkan konsep tanggungan pendudukan dan tanggungan beralih. Melalui kedua-dua proses tanggungan ini terdapat kemungkinan pihak yang terlibat secara tidak langsung terhadap proses pencemaran juga boleh dipertanggungjawabkan bersama terhadap kegiatan pencemaran yang berlaku.

Selain memiliki satu bentuk peruntukan undang-undang, proses penguatkuasaan juga memainkan peranan yang cukup penting. Tanpa adanya proses penguatkuasaan yang mantap, sebarang jenis peruntukan undang-undang yang telah disediakan akan menjadi sia-sia belaka. Proses penilaian perlu dilakukan terhadap semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi memastikan segala fungsi dan tugas hakiki mereka dalam melindungi alam sekitar dalam negara kita telah dilaksanakan dengan baik. Memandangkan keadaan muka bumi negara kita yang luas, pihak kerajaan perlu memastikan agensi penguatkuasaan yang berkaitan memiliki jumlah pegawai penguatkuasa yang mencukupi bagi memudahkan mereka menjalankan segala fungsi dan peranan mereka sebagai sebuah agensi penguatkuasa yang lebih berkesan. Pihak agensi penguatkuasa yang terlibat perlu juga memastikan mereka memiliki pegawai penguatkuasa yang benar-benar mahir dalam membendung masalah pencemaran yang boleh berlaku dalam negara kita.

Setiap kerajaan negeri perlu mengetepikan segala perbezaan politik yang ada pada mereka serta perlu menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan pusat bagi memastikan sebarang jenis pencemaran tidak berlaku pada skala yang serius dalam negara kita. Semua pihak harus memberi keutamaan kepada kebajikan serta kesihatan rakyat dalam usaha untuk membendung pencemaran. Pendidikan berterusan harus diberikan kepada semua pihak mengenai kepentingan untuk menjaga alam sekitar. Kerjasama semua pihak adalah penting dalam memastikan alam sekitar dalam negara kita berada dalam keadaan yang baik serta tidak membawa bahaya kepada mana-mana pihak.




* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan: