Khamis, 14 Mac 2019

Miti sahkan 36 syarikat bumiputera pemegang baru AP

MALAYSIAKINI

   

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengesahkan 36 syarikat baru telah diluluskan pemegang permit (AP).

Dalam satu kenyataan malam tadi, Seksyen Kawalan Eksport dan Import Miti berkata pemberian permit import kereta itu dilaksanakan di bawah dasar AP Terbuka yang baru, yang bermula pada bulan Januari.

"AP Terbuka merupakan kemudahan permit import yang diberikan oleh kementerian kepada syarikat-syarikat bumiputera yang berkelayakan untuk mengimport kenderaan yang dibaikpulih untuk jualan di pasaran tempatan.

"Syarikat-syarikat tertakluk kepada syarat dan peraturan yang dikenakan oleh kementerian.

"Objektif dasar baru ini adalah untuk mempromosikan pembangunan usahawan bumiputera baru dalam industri automotif, untuk memastikan dasar ini terus menyumbang kepada matlamat sosioekonomi negara dan untuk mewujudkan daya saing pasaran yang akan memberi manfaat kepada pengguna, terutamanya dari segi harga dan perkhidmatan," kata kenyataan itu.

Hampir 300 syarikat mengemukakan permohonan mengikut dasar baru berkenaan dari 23 Mei hingga 21 Jun 2016, kata kementerian itu.

"Selepas proses penilaian, termasuk audit oleh juruaudit bebas yang bertauliah, terdapat sejumlah 164 syarikat yang layak, iaitu 128 bagi syarikat sedia ada dan 36 lagi merupakan syarikat baru.

"Keadaan yang perlu dipenuhi, antara lain, syarikat itu mesti 100 peratus dimiliki oleh bumiputera termasuk dalam jawatan pengurusan utama, mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman dalam menjual dan mengedar kenderaan bermotor dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh," kata Miti lagi.

Boleh disenarai hitam

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak ada had yang ditetapkan untuk jumlah keseluruhan permit import yang akan dikeluarkan dalam setahun di bawah dasar AP Terbuka.

Syarikat boleh memohon permit tambahan berdasarkan prestasi jualan mereka, jelas Miti lagi.

"Pada masa ini, kebanyakan syarikat baru masih belum beroperasi sepenuhnya, kerana mereka perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan bersedia untuk urusan operasi perniagaan," tambah kenyataan itu lagi.

Mereka yang terlibat dalam proses Terbuka AP akan dipantau secara ketat, kata kementerian itu dan mereka yang melanggar syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan AP yang telah diluluskan dan diperuntukkan itu ditarik balik atau digantung.

Miti turut memberi amaran kepada syarikat-syarikat pemegang permit import kereta ini - termasuk ahli lembaga pengarah dan pemegang saham - boleh disenarai hitam dan tertakluk kepada tindakan undang-undang jika melanggar peraturan-peraturan yang telah digariskan.

Tahun lepas, menurut kementerian sebanyak sembilan syarikat disenarai hitam kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming pada Isnin lalu berkata kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan sebuah portal automotif yang mengatakan Putrajaya telah meluluskan 38 pemegang AP baru.

DS&F (Drive Safe and Fast) dalam artikelnya awal Mac ini berkata mengetahui perkara ini daripada pemegang AP yang lama.

"Ya, kerajaan baru telah memberikan 'hak' kepada 38 pengimport kereta yang baru untuk membuat duit dengan 'cara mudah'.

"Daripada apa yang kami temukan, kebanyakan pemegang 38 AP baru telah mula bercakap dengan pemegang AP sedia ada untuk 'membeli' AP daripada mereka (pemegang permit import baru) kerana mereka tidak berada dalam perniagaan kereta dan sebaliknya hanya mahukan bayaran sebanyak RM18,000 hingga RM22,000 untuk (setiap) satu AP," kata portal itu.

Dalam wawancara bersama BFM pada November 2018, Ong berkata kerajaan tidak merancang untuk menghapuskan sistem AP tetapi akan mengkaji semula untuk memastikan tidak berlaku penyalahgunaan.

Berucap di Kongres Ekonomi Bumiputera pada September tahun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada masa lalu, banyak peluang perniagaan telah diberikan kepada bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi ramai yang menjual kontrak dan AP untuk mengaut keuntungan.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan akan membatalkan kontrak dan AP yang diberikan kepada mereka jika mereka menjualnya kepada pihak ketiga.


Tiada ulasan: