Sabtu, 23 Mac 2019

Pemimpin, penyokong Umno ganggu, maki, carutkan pelatih Mkini

MALAYSIAKINI

   

Dua wartawan pelatih Malaysiakini berkata mereka diganggu pemimpin dan penyokong Umno ketika membuat liputan acara bekas perdana menteri Najib Razak di ibu negara hari ini.

Mariam Nizar berkata dia diganggu oleh Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Mutalif Abdul Rahim dan Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam yang tidak berpuas hati dengan laporan Malaysiakini berkaitan acara itu.

Malaysiakini sebelum itu melaporkan seorang penyokong Najib mengasari pelajar yang mempamerkan karikatur dan plakad anti-Najib dekat tempat acara.

“Kemudian lelaki berjubah (Lokman Adam) mendekatkan muka kepada saya dan saya menyuruhnya supaya menjauhi saya dan menghormati personal space saya.

“Dia seterusnya mengeluarkan kata-kata seperti 'mak kaulah personal space'.

“Saya call editor untuk memberitahu apa yang terjadi dan mereka (penyokong Umno) memanggil saya penipu.

“Ketika itu Mutalif merampas semula kad namanya dan melukakan ibu jari kanan saya,” menurut Mariam dalam laporan polisnya.




Mariam membuat laporan polis berkaitan perkara itu di ibu pejabat polis (IPD) daerah Petaling Jaya.

Sementara itu, menurut laporan itu lagi, seorang lagi wartawan pelatih Malaysiakini Ramieza Wahid ditolak oleh penyokong Najib.

Mereka juga didakwa melontarkan kata-kata kesat seperti bodoh dan penipu. Carutan turut dilemparkan kepada kedua pelajar itu.

Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan menyelar tindakan itu.

“Penyokong politik itu telah melampau batas dengan menyerang wartawan pelatih Malaysiakini secara lisan dan fizikal.

“Kita harus lontarkan mesej jelas dan terang bahawa keganasan seperti ini tidak boleh sesekali ditolak ansur,” katanya.


Tiada ulasan: