Rabu, 13 Mac 2019

Pemimpin DAP sokong perbandingan Umno-PAS dengan Taliban


   

Hari ini seorang pemimpin DAP tampil menyuarakan sokongan terhadap kenyataan Nga Kor Ming bahawa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban jika Umno dan PAS membentuk kerajaan.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, kerjasama itu adalah satu ancaman kepada negara, bukan terhadap Pakatan Harapan (PH) sahaja.

"Saya setuju - pada tahap tertentu - dengan pandangan Nga, ada kemungkinan negara menuju ke arah negara Taliban jika Umno dan PAS bekerjasama dan menang pada PRU akan datang," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata ini kerana dua parti itu menggunakan isu agama dan kaum, seperti yang dapat dilihat dalam PRK Semenyih dan Cameron Highlands.

Pada 9 Mac lalu, akhbar Sin Chew Daily memetik Nga yang membuat perbandingan antara PAS dan Umno dengan Taliban.

Beliau yang merupakan pengerusi DAP Perak berkata ia akan memecah-belahkan rakyat berdasarkan garis kaum dan agama.
Kenyataan itu mengundang kritikan PAS dan Umno yang menyifatkan kenyataan Nga itu berniat jahat.

Ia juga ditegur adun DAP Sheikh Omar Ali yang berkata pemimpin DAP tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu dan ia tidak membantu parti itu untuk diterima rakyat.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata beliau dapat memahami mengapa ada golongan bukan Islam yang berasa sedemikian.

"Mereka (Umno-PAS) guna ungkapan 'negara dalam bahaya, terancam oleh orang bukan Islam', seruan mereka berkenaan menyatukan orang Melayu dan Islam untuk hadapi ancaman bukan Islam.

"Jadi tak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap mereka.

"Tidak pelik jika orang bereaksi apabila kempen ada berasaskan dengan memberitahu orang Melayu mereka sedang diancam dan orang bukan Islam mahu rampas banyak benda," katanya yang juga anggota parlimen Shah Alam.


Tiada ulasan: