Sabtu, 23 Mac 2019

Pemilik Restoran Amjal dakwa ditipu penganjur


   

Beberapa jam selepas insiden kekecohan yang berlaku berhampiran Restoran Amjal semasa program santai Najib Razak, pemilik restoran itu mendakwa ditipu oleh penganjur program tersebut.

Pemilik yang enggan dinamakan itu berkata pihak restoran membenarkan program itu dijalankan di situ kerana penganjur beberapa kali mengesahkan yang program tersebut tidak disertai Najib.

“Kita dah tanya beberapa kali kepada penganjur, Najib Razak ada turun tak hari ini? Mereka kata tak ada.

“Tiba-tiba hari ini, Najib datang,” katanya kepada Malaysiakini. 

Katanya lagi, Restoran Amjal sememangnya terkenal sebagai kawasan Pakatan Harapan (PH).

Dalam insiden petang tadi, berlaku pergelutan antara penyokong Najib dengan beberapa pelajar Universiti Malaya (UM).
Kejadian itu berlaku ketika Najib sedang berucap dalam program santai di restoran berkenaan.

Sekumpulan pelajar berkumpul di seberang jalan berhampiran tempat program sambil memegang plakad mengandungi slogan "penipu" dan "mana RM2.6 bilion".

Mereka turut memegang plakad berupa gambar badut yang menyerupai Najib.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan.

Salah seorang pelajar turut dilihat dicekik dari belakang sebelum dikerumuni individu lain.

Setakat jam 7.29 petang, kumpulan pelajar tersebut masih memberikan keterangan di Balai Polis Pantai Dalam.

Malaysiakini sudah menghubungi penganjur untuk mendapatkan kenyataan mereka berhubung perkara ini tetapi belum menerima sebarang maklum balas.


Tiada ulasan: