Jumaat, 1 Mac 2019

PAS NAFI BAYAR CLARE LUAR MAHKAMAH


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat oleh PAS kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk penyelesaian luar mahkamah mengenai kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan menerima RM90 juta daripada UMNO.

Beliau berkata berdasarkan Perintah Persetujuan yang direkodkan di hadapan hakim Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, kedua-dua pihak dinyatakan bersetuju untuk tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing selain mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Takiyuddin menjelaskan dengan erti kata yang lain, pihak yang menuntut iaitu Presiden PAS yang disebut sebagai ‘Mr. Awang’ dalam pliding mahkamah, tidak membayar sebarang bayaran atau kos kepada defendan untuk penyelesaian kes di luar mahkamah.

“Perlu dijelaskan juga bahawa PAS lagilah tidak membayar apa-apa bayaran di mana-mana peringkat kes ini kerana PAS bukanlah satu pihak dalam tindakan ini,” katanya melalui kenyataan pada malam Selasa.

Terdahulu, pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mencabar PAS untuk menjelaskan sama ada parti itu membayar lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.

Anwar berkata penjelasan PAS perlu selepas konon pihaknya mendapati afidavit kes yang difailkan Rewcastle-Brown tidak selari dengan penjelasan PAS yang mengelirukan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata kenyataan Anwar itu dilihat sebagai usaha untuk mengalih perhatian terhadap konflik dalaman Pakatan Harapan (PH) yang sedang disoroti rakyat.

“PAS menganggap kenyataan Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat daripada isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti dalam Pakatan Harapan terhadap Pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri,” katanya.


Tiada ulasan: