Ahad, 10 Mac 2019

PAS dakwa Yeoh sanggah fatwa Selangor

MALAYSIAKINI

   

Pengumuman peruntukan sebanyak RM30,000 kepada pertubuhan Sister In Islam (SIS) oleh timbalan menteri didakwa PAS mencabar keputusan fatwa Selangor yang menyifatkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata beliau hairan apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh yang mempertahankan peruntukan itu.

"Sedangkan Jawatankuasa Fatwa Selangor menetapkan bahawa SIS adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Tindakan timbalan menteri itu mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 8 Mac lalu Yeoh hadir pada program anjuran SIS dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pertubuhan berkenaan.

Pengumuman Yeoh itu sebelum ini turut mendapat bantahan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar.

Semalam, melalui Facebooknya Yeoh berkata beliau tidak pernah menjangkakan hasratnya untuk membantu wanita Muslim boleh dijadikan isu.

"Sepatutnya soal wanita Muslim teraniaya yang menjadi pokok perbincangan dan bukannya isu yang tidak membina seperti ini.

"Telenisa merupakan klinik bantuan guaman yang disediakan oleh SIS sejak 2003 lagi. Mereka telah memberikan khidmat nasihat berkaitan Undang-undang Keluarga Islam dan Undang-undang Jenayah Syariah kepada wanita Muslim dan mereka yang memerlukan.

"Dan mereka memberikannya secara percuma. Setakat ini lebih 8,400 wanita dan lelaki mendapat manfaat daripada telenisa ini," tulis Yeoh.

Sementara itu, Sallehen berkata sumbangan itu juga secara tidak langsung menyanggah institusi agama Islam yang berada di bawah Sultan Selangor.

Oleh itu PAS Selangor meminta Yeoh menarik balik peruntukan berkenaan dan memohon maaf kepada sultan Selangor.


Tiada ulasan: