Isnin, 25 Mac 2019

Pampasan mangsa Sungai Kim Kim belum diputuskan

Fairul Asmaini Mohd Pilus
 
 

KERAJAAN belum memutuskan bentuk mahu pun jumlah pampasan yang akan diberikan kepada mangsa pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH- Pandan) berkata, ini kerana tragedi itu baru berlaku dan apa yang kerajaan utamakan sekarang adalah untuk memberikan mangsa penjagaan kesihatan dan rawatan yang diperlukan.

“Selain itu, kerajaan juga sedang mencari punca serta bagaimana untuk mengurang dan mencegah bencana seperti itu daripada berulang pada masa depan.

“Mengenai pampasan, ia belum lagi dikira berapa atau bagaimana bentuk pampasan yang akan diberikan kepada mereka (mangsa),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dari Mohd Shahar Abdullah (BN- Paya Besar) mengenai jumlah pampasan yang akan kerajaan berikan kepada mangsa bencana pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim, Johor Bahru.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk pusat pemindahan mangsa banjir di tiga negeri di pantai timur antara November 2018 hingga Januari 2019.

Kata beliau, setakat 7 Mac lalu, keseluruhan peruntukan yang dibelanjakan kerajaan bagi menghadapi monsun timur laut adalah sebanyak RM8.78 juta.

“Untuk mangsa banjir, kerajaan turut menyediakan peruntukan wang ihsan sebanyak RM500 bagi setiap ketua isi rumah.

“Setakat ini, Terengganu dan Pahang masing-masing sudah mendapat peruntukan sebanyak RM482,000 serta RM91,000 manakala untuk Kelantan, Kerajaan Persekutuan masih menunggu tuntutan daripada kerajaan negeri terbabit,” katanya ketika menjawab soalan lisan dari Datuk Rosol Wahid (PH- Hulu Terengganu).

Rosol bertanyakan soalan mengenai usaha yang diambil kerajaan persekutuan dan jumlah peruntukan yang dikeluarkan dalam usaha menangani bencana banjir di negeri Pantai Timur antara November 2018 hingga Januari 2019.


Tiada ulasan: