Rabu, 13 Mac 2019

Najib kekal pengakuan tak bersalah atas 3 dakwaan ubah wang

Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur har
ini untuk mendengar pengurusan kes 3 pertuduhan melibatka
diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC 
International. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Najib Razak hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas 3 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta, 5 tahun lepas.

Najib, 66, yang bersut kelabu mengangguk faham selepas jurubahasa wanita membacakan setiap satu pertuduhan dan bertanya sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak dan Najib menjawab: “Minta bicara”.

Hari ini adalah sebutan kali pertama kes itu di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas dibenarkan dipindah dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut 3 pertuduhan itu, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima keseluruhannya RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam 3 akaun AmPrivate Banking miliknya.
Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup mencadangkan mahkamah mengguna pakai jaminan ditetapkan Mahkamah Sesyen pada 8 Februari lalu. Mahkamah menetapkan 17 April ini untuk sebutan semula kes Najib yang diwakili peguam, Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 3 pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes Najib yang didakwa atas 7 pertuduhan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta selepas Manoj memohon tarikh lain bagi sebutan kes itu hari ini.

Manoj berkata, pada tarikh berkenaan, pihaknya akan memaklumkan perkembangan 4 rayuan Najib yang didengar pada 11 Mac dan bersambung 15 Mac ini di Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu melibatkan perintah menghalang media menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu, penzahiran dokumen, pelantikan Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dan sijil pindah kes.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 3 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama daripada dana serupa.

Tiada ulasan: