Selasa, 5 Mac 2019

KEUNTUNGAN SEBELUM ZAKAT DAN CUKAI BIMB HOLDINGS BERHAD MELEPASI RM1.0 BILION UNTUK TAHUN KEWANGAN 2018

MALAYSIAKINI

   

Pendapatan BIMB Holdings Berhad ("BHB") mencecah paras tertinggi baharu dengan Keuntungan Sebelum Zakat dan Percukaian (“PBZT”) pada RM1.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 ("TK2018").

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd Muazzam Mohamed, berkata "Kami ingin mengumumkan bahawa prestasi yang kukuh ini telah diterjemahkan kepada 15.4% ROE selepas cukai, melebihi kebanyakan rakan industri. Pendapatan sesaham juga lebih tinggi pada 40.36 sen berbanding 37.94 sen pada tahun kewangan sebelumnya, manakala aset bersih sesaham meningkat kepada RM2.97 berbanding RM2.77 pada akhir Disember 2017 ".

Bagi tempoh yang ditinjau, keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada para pemegang saham meningkat 10.1% atau RM62.3 juta kepada RM682.1 juta.

Sepanjang tahun tersebut, dividen interim satu peringkat sehingga RM262.5 juta atau 15.5 sen sesaham telah dicadangkan untuk sembilan bulan berakhir September 2018. Lembaga Pengarah juga mencadangkan supaya Pelan Pelaburan Semula Dividen ("DRP") dibuat untuk keseluruhan dividen interim satu peringkat yang dicadangkan. BHB mencatatkan kadar langganan DRP sebanyak 85.95%, menunjukkan komitmen dan penyertaan pemegang saham yang kukuh.

Perbankan Islam

Kumpulan Bank Islam ("Bank Islam" atau "Bank") mencatatkan PBZT sebanyak RM810.3 juta untuk TK2018, peningkatan RM43.2 juta atau 5.6% berbanding tahun kewangan sebelumnya sebanyak RM767.1 juta.

Peningkatan keuntungan Bank Islam adalah disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi berikutan kenaikan Kadar Asas dan Kadar Pembiayaan Asas sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa Februari 2018 serta pertumbuhan pembiayaan yang kukuh sebanyak 8.5%, hampir dua kali ganda pertumbuhan pembiayaan purata industri sebanyak 4.3 % (November 2018). Pembiayaan meningkat RM3.6 bilion untuk mencecah RM45.7 bilion pada 31 Disember 2018 dengan kualiti aset kekal kukuh dan berdaya tahan, meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar.

Kualiti aset yang kukuh ditunjukkan dalam nisbah pembiayaan terjejas kasar yang rendah iaitu 0.92%, lebih rendah daripada 0.93% yang didaftarkan pada akhir 2017. Ia positif berbanding 1.49% yang didaftarkan oleh sistem perbankan pada akhir November 2018.

Nisbah perlindungan pembiayaan rugi Bank berjumlah 187.8%, hampir dua kali ganda purata industri sebanyak 97.5% pada akhir Disember 2018.

Dari sudut pendanaan, deposit pelanggan dan akaun pelaburan Bank berada pada RM49.9 bilion dan RM5.2 bilion pada 31 Disember 2018 dengan peningkatan masingmasing sebanyak RM3.7 bilion dan RM0.9 bilion. Akaun Semasa dan Simpanan ("CASA") dan Akaun Pelaburan (IA) tanpa matang, deposit kos rendah / nisbah IA berada pada 32.1%. Kedudukan pembiayaan Bank juga kekal sihat dengan nisbah pembiayaan kepada dana sedia ada sebanyak 77.7%.

Kedudukan modal Bank kekal sihat seperti yang ditunjukkan oleh Nisbah Modal sebanyak 17.7%.

Langkah-langkah sokongan yang diterima pakai oleh kerajaan Malaysia seperti yang diumumkan dalam Bajet 2019 adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Islam. Ini termasuklah keutamaan berterusan ke atas perbankan Islam, pengembangan industri produktiviti halal, meningkatkan Skim Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana ("SME") patuh Syariah dan inisiatif digital.

Dalam hal ini, pelan strategik Bank untuk tiga tahun akan datang adalah untuk menghasilkan prestasi yang mampan dengan fokus strategik menyokong ekonomi, komuniti dan alam sekitar. Hala tuju korporat Bank adalah berdasarkan kepada Pengantaraan Berasaskan Nilai (“VBI”) yang menjadi pemacu model perniagaan. Dengan Prinsip Syariah / Halal dan Dipercayai menjadi ciri terpenting, Bank akan meneruskan langkahnya menggunapakai prinsip VBI seperti Triple Bottom Line ("TBL"), iaitu mementingkan masyarakat, alam sekitar dan kemakmuran.

Takaful

Kumpulan Takaful Malaysia Keluarga Berhad ("Takaful Malaysia") mencatat kenaikan 32.9% dalam PBZT kepada RM337.0 juta untuk TK2018, berbanding RM253.7 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya. Keuntungan lebih tinggi adalah disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi yuran wakalah yang timbul daripada pertumbuhan mantap dalam perniagaan Keluarga dan Takaful Am.

Pendapatan operasi Takaful Malaysia meningkat 23.4% pada TK2018 kepada RM2.639 bilion daripada RM2.139 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh jualan lebih tinggi yang dihasilkan oleh perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am.

Bagi 12 bulan yang ditinjau, Takaful Keluarga telah menjana sumbangan diperoleh kasar sebanyak RM1.608 bilion, peningkatan 27.2% berbanding RM1.264 bilion yang dicatat pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh jualan lebih tinggi daripada produk berkaitan kredit.

Bagi tempoh yang ditinjau, Takaful Am mencatatkan sumbangan diperoleh kasar sebanyak RM685.8 juta, meningkat sebanyak 23.7%, berbanding RM554.2 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disebabkan terutamanya oleh kelas kebakaran dan motor.

Dalam tempoh yang ditinjau, Takaful Malaysia telah memuktamadkan penyusunan semula perniagaan Perniagaan Takaful Keluarga dan Am mengikut keperluan Seksyen 16 (1) dan 286 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 ("IFSA"). Bank Negara Malaysia pada 29 Jun 2018 telah mengeluarkan sijil berlesen bagi perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am masing-masing berkuat kuasa 1 Jun 2018.

Walaupun sentimen perniagaan kekal berhati-hati untuk tahun 2019, industri Takaful dijangka akan mengungguli penanggung-penanggung insurans konvensional memandangkan permintaan yang kukuh dalam produk Takaful. Takaful Malaysia bersedia untuk memperluaskan lagi bahagian pasarannya pada tahun 2019.

Untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran, syarikat akan meneruskan strategi-strategi inovatif menerusi pelaksanaan strategi digital, pengenalan penyelesaian dalam talian, pengembangan keupayaan pengedaran, perkongsian strategik dengan bank-bank Islam terkemuka serta inisiatif kesedaran Jenama.

Untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan berpusatkan/mengutamakan pelanggan, syarikat akan meneruskan strategi digitalnya untuk membina ekosistem digital sepenuhnya dan memperluaskan tumpuan perniagaan di luar perniagaan berkaitan kredit untuk mendekati pangkalan pelanggan runcit yang luas rakan kongsi bank utama.

Adalah menjadi komitmen Takaful Malaysia untuk terus memberi perhatian terhadap keperluan pelanggan yang layak dengan penyelesaian dan perkhidmatan perlindungan yang boleh dipercayai dan lebih baik bagi mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pilihan utama untuk insurans.

For further information on BHB, please visit www.bimbholdings.com

Tiada ulasan: