Rabu, 13 Mac 2019

Bekas tukang masak didakwa tawar pekerjaan tak wujud di Kemboja

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau 
denda atau kedua-duanya. (Gambar Bernama)
 
KUCHING: Seorang bekas tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret 3 Kuching, hari ini atas pertuduhan menawarkan pekerjaan yang tidak wujud di Kemboja.

Tertuduh Chang Ying Shiong, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Faelly Jeffry Lanjungan.

Mengikut pertuduhan, Chang didakwa memperdaya Chong Jun Kong dengan menawarkan pekerjaan sebagai tukang masak di luar negara. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober 2018, di MJC Batu Kawah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 akta sama yang membawa penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan 2 orang penjamin manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: