Sabtu, 16 Mac 2019

Bagi sahajalah kerusi PAC kepada pembangkang

Muhammad Azizul Osman
MGF23112018_AZIZAH-RASMI-PANDUAN-PENGASUH02-681x454
Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata langkah itu bagi memastikan liputan undang-undang yang menyeluruh dengan skop lebih besar.

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa agar kerajaan memberikan laluan kepada pembangkang untuk mengepalai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Gesaan itu disuarakan anak sulung Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Nurul Izzah dan Timbalan kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Hannah Yeoh yang memegang portfolio Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Hannah, sudah tiba masanya PH menerajui perubahan dalam pentadbirannya dengan menjadikan pihak pembangkang sebagai pihak semak dan imbang kepada kerajaan.

“Masa untuk parlimen meminda Perintah Tetap bagi menjadikannya wajib untuk PAC dipengerusikan oleh (pemimpin) pembangkang,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Pandangan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu disokong Nurul Izzah.

“Setuju. Pengerusi PAC harus diisi oleh pembangkang untuk meneruskan akuntabiliti eksekutif.

“Speaker sekarang jelas memiliki niat melakukan pembaharuan institusi – untuk memastikan Parlimen berada pada kedudukan yang sama dengan eksekutif. Akan ingatkan beliau melakukan perkara sama untuk PAC,” kata anggota Parlimen Permatang Pauh itu.

Gesaan itu disuarakan kedua-dua mereka setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pengerusi PAC, Datuk Ronald Kiandee tidak perlu melepaskan jawatan meskipun kini menjadi sebahagian daripada kerajaan apabila menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak terikat kepada polisi tersebut.

“Beliau masih lagi Pengerusi PAC. Ia bergantung kepada polisi kerajaan, PAC bukan satu institusi setakat ini dan sebahagian daripada Perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan penyertaan enam bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu, di Yayasan Kepimpinan Perdana.

PH sebelum ini berkata pembangkang akan mengetuai PAC sebagaimana janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Kiandee antara empat orang Ahli Parlimen, dua ahli Dewan Negara dan dua orang ADUN dari Sabah yang diterima menyertai Bersatu hari ini.

Antara lain adalah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris.

Dua ADUN terlibat ialah Datuk Hajiji Mohd. Noor (Sulaman) dan Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan).

Selain itu, dua bekas Senator UMNO turut menyertai Bersatu iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas Ketua UMNO Bahagian Pensiangan) dan Datuk John Ambrose (bekas Ketua UMNO Penampang). -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: