Isnin, 18 Disember 2017

SPR dapat kebenaran teruskan persempadanan semula di Selangor

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibenarkan  meneruskan persempadanan semula di negeri Selangor selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan berkenaan.
 
Kebenaran itu sekaligus mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Disember lalu.
 
Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran itu dengan kemenangan 2-1 yang memihak kepada SPR.
 
Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Tan Sri Idrus Harun.
 
SPR hari ini memohon untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini untuk menghentikan proses persempadanan semula di Selangor.
 
Pada 19 Oktober 2016, Kerajaan Selangor memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memohon agar notis urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibatalkan.
 
Kerajaan Selangor mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baru kawasan pilihan raya.
 
Kerajaan negeri itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa notis berkenaan tidak mengandungi butiran lengkap dan oleh itu, boleh menyebabkan pemilih, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka dari segi perlembagaan untuk memfailkan representasi.
 
Selain mendakwa SPR bertindak secara melanggar Perlembagaan dan tidak munasabah dalam melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya apabila ia menggunakan rang daftar pemilih yang cacat.
 
Ini kerana kira-kira 136, 272 pemilih di negeri itu mempunyai alamat yang tidak sama seperti yang terkandung dalam rang daftar pemilih.
 
 

Tiada ulasan: