GEORGE TOWN: Polis tidak pernah berhenti atau cuba menutup sebarang
siasatan mengenai penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di
kawasan berbukit di Wang Kelian, Perlis seperti dilaporkan sebuah akhbar
baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata
siasatan kes itu masih berjalan dan pihaknya dalam proses mendakwa
beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.
“Sebenarnya polis tidak pernah berhenti atau terdapat cubaan untuk
menutup kes berkenaan sebaliknya siasatan masih diteruskan cuma kita
tidak menguar-uarkan (berhubung siasatan itu) kepada orang ramai
mengenai perkara berkenaan.
“Siasatan masih berterusan dan setakat ini empat orang sudah didakwa
dan beberapa lagi dalam proses didakwa malah polis juga telah kenal
pasti 10 lagi suspek dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes
tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan
Basikal Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Polis Diraja Malaysia
(PDRM) Pulau Pinang di sini malam tadi.
Beliau berkata polis juga sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa
(Interpol) untuk mengesan 10 individu yang dipercayai berada di beberapa
negara jiran.
Noor Rashid berkata pihak polis juga akan mengadakan satu sidang akhbar
khas berhubung kes itu dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara
sebenar supaya semua pihak terutama orang ramai faham situasi terkini
mengenainya.
“Polis akan beri penjelasan mengenai perkembangan kes itu dalam masa
terdekat cuma saya nak tegaskan kami tidak pernah cuba untuk tutup atau
hentikan siasatannya,” kata beliau.
Media melaporkan siasatan hampir dua tahun oleh pasukan projek khas
sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan mengenai penemuan kem
pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit di Wang Kelian,
mendedahkan bukti baharu yang cukup mengejutkan.
Hasil siasatan laporan eksklusif itu mendapati wujudnya cubaan untuk
menutup kes berprofil tinggi berkenaan yang dilakukan dengan terancang.
Paling mengejutkan, kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan
berbukit sempadan negara itu ditemui pada Januari 2015, namun hanya
diumumkan polis pada 25 Mei.
Satu lagi persoalan yang dibangkitkan laporan itu adalah mengenai
arahan polis supaya kem itu dimusnahkan sebelum siasatan pihak forensik,
sedangkan lokasi tersebut berpotensi sebagai lokasi kejadian jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan