Isnin, 18 Disember 2017

PBB tak calonkan ADUN untuk tanding kerusi Parlimen pada PRU14

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUCHING: Parti tunjang Barisan Nasional (BN) di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan mencalonkan ADUN untuk bertanding kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Menurut Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pendirian itu untuk memberi keadilan kepada rakyat yang telah memilih wakil rakyat yang dapat memberi khidmat sepenuh masa dan terbaik di kawasan Parlimen masing-masing.
 
“Ini merupakan pendirian PBB, namun berharap parti komponen lain dalam BN negeri akan turut mengambil pendirian yang sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat PBB cawangan Satok, di sini hari ini.
 
Selain PBB, BN Sarawak dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
 
Sebanyak 31 kerusi Parlimen akan dipertandingkan di Sarawak pada PRU14.
 
Manakala sebanyak 82 kerusi DUN Sarawak telah dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri ke-11, tahun lalu.
 
Abang Johari, yang juga pengerusi BN negeri, berkata semua calon PRU14 dari Sarawak akan disaring oleh pelbagai agensi berkaitan sebelum nama mereka diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila tiba masanya nanti.
 
Beliau berkata antara agensi itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Jabatan Insolvensi, imigresen dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
 
Menurutnya, proses saringan itu tidak harus dipandang ringan bagi mengelak pilihan raya kecil terpaksa diadakan apabila kemenangan calon dibatalkan kemudian atas pelbagai sebab.
 
“Ia pernah berlaku (pilihan raya kecil) sebelum ini di dalam mahupun di luar negeri ini.
 
“Kita tidak mahu kontroversi kelak...soal kelayakan mungkin boleh diputuskan oleh mahkamah, tetapi itu soal lain, yang penting tidak mahu ada kemungkinan pilihan raya kecil kemudian…ia banyak membazir waktu dan tenaga,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: