Khamis, 14 Disember 2017

Malaysia rosak lagi jika Tun M kembali jadi PM - Zuhdi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Negara bakal rosak sekali lagi jika Tun Dr Mahathir Mohamad kembali diangkat menjadi Perdana Menteri, sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata malahan kerosakan yang telah dibuat melalui dasar dan amalan semasa 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, sehingga hari ini masih membebankan rakyat. 
 
"Pusat Penyelidikan PAS melihat usaha PH untuk memberi mandat kepada Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali lagi, akan menjerumuskan negara kepada kerosakan yang lebih teruk.
 
"Selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, beliau telah memperkenalkan dasar dan amalan pemerintahan yang merugikan negara dan rakyat. Ketika pemerintahan Dr Mahathir, beliau telah melakukan pemusatan kuasa yang cukup jelas dengan menjadikan kuasa Perdana Menteri begitu besar sehingga berlaku campur tangan terhadap Institusi Kehakiman dan Legislatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Zuhdi berkata antara kerosakan yang dilakukan Dr Mahathir ketika tempoh 22 tahun pentadbirannya, antaranya Pengerusi PH itu telah menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui dua pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu pada tahun 1983 dan 1993.
 
"Beliau juga telah menghakis dasar dan amalan berkaitan dengan faderalisme sehingga melanggar perjanjian dengan kerajaan-kerajaan negeri seperti dalam isu yang berkaitan dengan royalti petroleum. Sekiranya Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi, diyakini beliau akan menjadi lebih ‘kuku besi’ dari sebelum ini," ujarnya.
 
Ujarnya, di dalam aspek ekonomi pula, Dr Mahathir telah memperkenalkan dasar dan amalan yang banyak merugikan negara dan rakyat yang masih memberi kesan hingga hari ini.
 
"Akibat dari dasar dan amalan tersebut menyebabkan rakyat menanggung bebannya sehingga hari ini, seperti kenaikan kos sara hidup, hutang isi rumah terus meningkat dan jurang kaya-miskin yang melebar. 
 
"Salah satu dasar yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir yang semakin kelihatan kegagalannya ialah Dasar Penswastaan. Dasar inilah yang telah menyebabkan rakyat sehingga hari ini menanggung kenaikan kadar tol, tarif elektrik dan air yang tinggi, bebanan hutang PTPTN dan lain-lain," tambahnya.
 
Jelasnya lagi, meskipun pelbagai usaha 'pembetulan semula' telah dilakukan di zaman pemerintahan dua perdana menteri selepas Dr Mahathir juga oleh kerajaan-kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008, masih belum berupaya membaiki kerosakan tersebut.
 
Justeru, Zuhdi yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata usaha untuk menyerahkan semula mandat kepada Dr Mahathir sekali lagi adalah sesuatu yang sukar diterima oleh mereka yang berfikiran waras.
 
Zuhdi turut berkata berdasarkan perkara yang dinyatakan, PPP berpendirian usaha PH untuk menyerahkan semula mandat kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekiranya PH menang selepas PRU ke-14 akan menyebabkan negara dan rakyat terus terjerumus dengan kerosakan politik, ekonomi dan sosial.
 
Ujar beliau, PH sepatutnya mengemukakan calon perdana menteri yang dapat meneruskan agenda reformasi yang dicetuskan oleh Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
 

Tiada ulasan: