PUTRAJAYA: Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim
Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Krismas yang akan disambut 25
Disember ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),
Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata skim yang akan dilaksanakan bermula
23 hingga 27 Disember iaitu 2 hari sebelum perayaan, hari perayaan dan 2
hari selepas perayaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan
2011.
Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat
mengikut kewajaran dan kesesuaian yang bertujuan memastikan harga yang
ditentukan berpatutan dalam rantaian pengedaran bagi manfaat pengguna
dan peniaga.
“Senarai barangan harga terkawal termasuk ayam hidup, ayam standard,
ayam super, ayam tua hidup, ayam belanda import, kepak ayam, daging
kambing tempatan bertulang, daging kambing atau biri-biri import
bertulang.
“Barangan lain termasuk telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur
ayam gred C, tomato, lada benggala hijau, babi hidup, daging babi
(perut) dan daging babi (daging dan lemak),” katanya pada sidang media
hari ini.
Peniaga juga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi
harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas
berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya
dengan barangan lain.
Bagaimanapun, katanya peniaga digalakkan menjual barangan itu lebih
rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh daripada
pemborong adalah lebih rendah.
“Pegawai penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai
di pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan
serta pemantauan,” katanya.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal
mematuhi peraturan di bawah skim itu mengikut Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal
melebihi harga maksimum yang ditentukan boleh didenda oleh mahkamah
sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau
kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal
melebihi harga maksimum yang ditentukan boleh didenda sehingga
RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
“Individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga
berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga
RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala bagi syarikat,
didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun hingga RM10,000,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan