KUALA SELANGOR: Polis percaya kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di
Tanjung Sepat, Kuala Langat, Rabu lepas, berjaya diselesaikan dengan
penahanan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Taman Pusat
Kepong, Kuala Lumpur awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata suspek berusia 38
tahun, yang merupakan OKU pekak dan bisu, ditahan di sebuah rumah kedai
pada 1 pagi tadi.
Suspek direman selama seminggu bermula Jumaat.
"Sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat, Jabatan Siasatan Jenayah
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menyerbu rumah kedai itu
berdasarkan maklumat risikan bahawa suspek menetap di situ dan telah
menerima rawatan di sebuah klinik swasta.
"Soal siasat awal dijalankan dan mendapati suspek yang tidak mempunyai
rekod jenayah, mengaku terlibat dalam kes ini. Lelaki itu yang bekerja
di sebuah kilang perabot di Kepong merupakan teman lelaki kepada anak
perempuan bongsu mangsa berumur 30 tahun yang juga OKU pekak dan bisu,"
katanya kepada pemberita.
Mazlan berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala
Selangor di sini, Jumaat.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi
Superitendan Mohd Asri Abd Wahab dilantik sebagai pemangku Ketua Polis
Daerah itu menggantikan Supt Ruslan Abdullah yang bersara wajib.
Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa Chia Tee Nang, 73; isterinya Lim
Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9, serta Chia Yuan
Bin, 3, dipercayai dibunuh sebelum dibakar di kediaman mereka.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Menurut Mazlan, berdasarkan siasatan awal, motif kejadian disebabkan
masalah kewangan seperti hutang dan berlaku pertelingkahan di rumah
mangsa sebelum kejadian.
"Kami percaya suspek bertindak bersendirian dalam kes ini, jadi kami percaya kes ini telah berjaya diselesaikan.
"Mengenai punca sebenar kematian keempat-empat mangsa, kami masih
menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital, tidak boleh
putuskan lagi sama ada mangsa dibunuh sebelum dibakar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan