Isnin, 11 Disember 2017

Istana Selangor akan keluarkan kenyataan pemulangan pingat oleh Dr M

THE MALAYSIAN TIMES



KLANG: Istana Selangor dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung laporan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad telah memulangkan dua darjah kebesaran yang beliau terima daripada Sultan Selangor, termasuk anugerah tertinggi negeri itu.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja kami mendapat kepastian bahawa pingat kebesaran itu sudah dipulangkan,” kata setiausaha sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika ditemui pemberita selepas upacara penyampaian pingat bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-72 Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menerima dua pingat kebesaran daripada Sultan Selangor ketika itu pada 1978 dan 2003. Satu daripadanya Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) (Kelas Pertama).

Dr Mahathir dilaporkan memulangkan kedua-dua darjah kebesaran itu Khamis lepas, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kemurkaan istana berhubung kenyataan beliau tentang masyarakat Bugis.

Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga dilaporkan turut memulangkan darjah kebesaran yang beliau terima daripada negeri itu.

Mengulas perkara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata isu pemulangan darjah kebesaran negeri adalah antara Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah serta istana dan kerajaan negeri ini tidak mempunyai kaitan dengannya.

Berhubung kenyataan yang dibuat anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim terhadap Sultan Selangor, yang dianggap banyak pihak sebagai mempunyai unsur hasutan, Mohamed Azmin berkata istana telah menegur Zaid berkaitan kenyataannya itu.

“Saya berpendapat beliau perlu bertanggungjawab dengan apa yang beliau ucapkan,” katanya.

Menurut laporan, melalui akaun Twitternya, Zaid antara lain mempertikai kritikan Sultan Selangor terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataannya tentang masyarakat Bugis.–Bernama

Tiada ulasan: