Kumpulan 49 pemohon itu memfailkan permohonan semakan
kehakiman bagi membatalkan keputusan SPR memasukkan nama 949 tentera
dan pasangan mereka di pangkalan tentera Segamat yang belum siap dibina.
KUALA LUMPUR: Seramai 48 pengundi di kawasan Parlimen Segamat, Johor mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan kemasukan 949 anggota tentera dan pasangan mereka sebagai pengundi baharu di sebuah kem tentera belum siap dibina.
Kumpulan itu yang diketuai Abdul Wahab Hassan memfailkan permohonan semakan kehakiman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu lalu, selepas Pendaftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan mereka untuk memasukkan nama itu dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ke-3 2017.
Dalam permohonan itu, mereka meminta mahkamah membatalkan keputusan memasukkan 949 nama itu dan mengisytiharkan tindakan berkenaan tidak berperlembagaan.
SPR dan Pendaftar Pemilih dinamakan sebagai responden terhadap tindakan itu.
Dalam satu afidavit untuk menyokong permohonan mereka, pemohon berkata, kemasukan nama itu dalam daftar pemilih tidak sah kerana ia melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka berkata, ada banyak kesilapan ditemui dalam satu inkuiri awam dan pelanggaran keadilan asasi apabila SPR mengadakan pendengaran terbuka pada 4 hingga 10 Disember lalu.
Pendaftar Pemilih kemudiannya menolak aduan mereka selepas inkuiri itu.
Pemohon turut meminta penangguhan terhadap keputusan SPR memasukkan nama 949 pengundi itu kerana mahkamah tidak boleh mendengar aduan mereka selepas daftar pemilih diwartakan.
Peguam, A Surendra Ananth berkata, hakim Datuk Kamaludin Md Said memberi perintah sementara kepada pemohon untuk menghalang SPR mewartakan nama 949 pengundi itu sementara menunggu permohonan kebenaran mereka didengar.
Kamaludin menetapkan 3 Januari depan untuk mendengar permohonan kebenaran itu bagi memberi masa kepada peguam negara bertindak balas terhadap afidavit yang difailkan pemohon yang turut diwakili Michelle Ng, Joanne Chua dan Jamie Lee.
Peguam kerajaan, Suzana Atan dan Nik Azreen Nik Abdullah mewakili SPR dan Pendaftar
Pemilih.
Bulan lalu, media melaporkan 1,051 pengundi hantu didaftarkan di kem tentera Segamat itu yang belum mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan daripada pihak berkuasa tempatan.
FMT difahamkan satu lagi tindakan undang-undang akan difailkan PKR esok bagi membantah kemasukan 102 pengundi berpotensi di kerusi sama.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini turut mempersoalkan tindakan menambah 1,051 pengundi tentera ke kawasan Parlimen Segamat untuk menyelamatkan Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti tipis 1,217 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan