Rabu, 13 Disember 2017

Berapa kos anjur Expo Negaraku 2017, soal Rafizi

DETIK DAILY

 
 
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan kos dan agensi yang bertanggungjawab membiayai penganjuran Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka selama sebulan, bermula 15 November lalu.

Naib presiden PKR itu berkata, hasil semakannya mendapati tiada rekod berkaitan penganjuran ekspo itu dalam laman web Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Daripada semua carian di rekod rasmi perolehan kerajaan, ia menunjukkan tidak ada sebarang rekod penganjuran Expo Negaraku dan lantikan Pico Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd pernah melalui apa-apa proses tender mahupun rundingan terus,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Invoke hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu menganggarkan program itu menelan belanja sekitar RM34 juta.

“Sebab itu dalam keghairahan Rahman ingin mengalih pandangan masyarakat daripada isu pembaziran wang rakyat untuk menganjurkan Expo Negaraku yang mencecah puluhan juta ringgit, sedangkan rakyat terpaksa mengikat perut, beliau tidak boleh lari daripada menjawab soalan penting.

“Berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk menganjurkan ekspo ini dan siapa yang membayarnya kerana tiada rekod dalam sistem perolehan kerajaan ini pernah melalui proses perolehan biasa di peringkat kementerian,” katanya.

Rafizi turut mempersoalkan peranan Rahman dalam menurunkan harga barang keperluan asas, memandangkan beliau bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi.

“Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan merancang ekonomi, Rahman perlu menjawab apa yang beliau buat selama ini untuk menurunkan harga minyak dan barang?

“Tugas beliau bukan untuk menganjurkan ekspo yang menelan puluhan juta wang rakyat bagi tujuan membodek perdana menteri semata-mata,” dakwanya. 
 
 

Tiada ulasan: