Sabtu, 16 Disember 2017

Bekas KPD sorok duit dalam kotak kasut dibebas dengan jaminan

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
IPOH: Seorang bekas ketua polis daerah (KPD) yang ditahan reman sembilan hari bagi membantu siasatan kes rasuah, dibebaskan hari ini.
 
Pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner berusia 59 tahun itu bersama isterinya yang berumur 54 tahun serta seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun, ditahan reman sejak 8 Disember lalu.
 
Memetik laporan BH Online, Majistret Nurul Asyifa Redzuan membebaskan mereka dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Disember lalu, menyatakan suspek ditahan di pejabat SPRM Perak jam 7.30 malam 7 Disember bersama isteri dan ahli perniagaan wanita berkenaan.
 
Susulan itu, pasukan penyiasat SPRM menjalankan operasi penggeledahan di rumah pegawai polis berkenaan dan menemui wang tunai hampir RM1 juta serta barangan kemas dalam kotak kasut dan peti besi. 
 
Siasatan awal SPRM mendapati ahli perniagaan wanita itu dipercayai mempunyai kepentingan dengan pegawai polis terbabit ketika bertugas sebagai KPD dan memberikan wang tunai untuk majlis perkahwinan anak suspek pada Februari lalu.
 
Ahli perniagaan wanita terbabit memasukkan wang RM70,000 ke dalam akaun isteri pegawai polis berkenaan dengan dua transaksi iaitu RM20,000 dan RM50,000.
 
 

Tiada ulasan: