Selasa, 12 Disember 2017

Aktif edar dadah di universiti, pelajar Bangladesh ditahan

 
Hasil siasatan polis ke asramanya membawa kepada penemuan serta rampasan dadah bernilai kira-kira RM12,000, antaranya 4 ketulan mampat disyaki ganja dan 1 paket ganja.


edar-ganja

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki warga Bangladesh ditahan Ahad lepas setelah dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di sebuah universiti swasta di Semenyih.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di universiti tersebut kira-kira 4.00 petang oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Hasil siasatan polis ke asramanya membawa kepada penemuan serta rampasan dadah bernilai kira-kira RM12,000, antaranya 4 ketulan mampat disyaki ganja dan 1 paket ganja, katanya.

“Suspek dipercayai aktif melakukan pengedaran dadah sejak 2 tahun lepas dan menyasarkan rakan seuniversiti sebagai pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata pelajar Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu mula belajar di universiti berkenaan sejak 2014 dan dijangka menamatkan pengajiannya pada 2019.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: