Khamis, 19 Januari 2017

Status ahli Parlimen Khalid Samad jadi tanda tanya

Oleh Haizal Yathiran
Post Pic


KLANG: Mahkamah Rendah Syariah hari ini mengenakan hukuman denda RM2,900 ke atas Khalid Abdul Samad selepas Ahli Parlimen Shah Alam itu disabit kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Hukuman itu menimbulkan tanda tanya mengenai status Khalid sebagai Ahli Parlimen Shah Alam.

Dibawah artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen secara automatik dilucutkan daripada memegang jawatan itu sekiranya disabit kesalahan dan dihukum denda tidak kurang daripada Rm2000 atau penjara tidak kurang setahun.

Khalid bagaimanapun memebritahu keputusan tersebut masih bergantung pada rayuan yang akan dibuatnya Jumaat ini.

"Mungkin (hilang kelayakan MP) tapi bila kita dah buat rayuan maka keputusan berhubung hilang kedudukan saya sebagai anggota parlimen akan ditangguh sehingga keputusan rayuan itu sendiri," katanya kepada pemberita.

Pengarah Komunikasi parti Amanah itu akan membayar denda RM2,900 tetapi memberitahu wartawan beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Syariah itu.

"Pada hari ini kita akan membayar dulu denda RM2,900, selepas itu kita akan buat rayuan ke atas keputusan yang telah dibuat," katanya kepada pemberita.

Khalid pada 16 Ogos 2011 ditahan mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor ketika sedang mengajar agama di Surau Taman Seri Sementa, Klang.

Berikutan itu, beliau mempertahankan tindakannya mengajar di surau berkenaan kerana mahu menceritakan pengalamannya ketika membantu rakyat Palestin di Gaza.

Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim ketika membaca penghakimannya memberitahu denda itu dijatuhkan sebagai teladan kepada umum agar tiada yang mengulanginya.


Tiada ulasan: