PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak mengumumkan tempoh berkabung tujuh hari
bermula esok sebagai menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan
Satem.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, berkata
sepanjang tempoh itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang,
manakala semua acara rasmi ditangguhkan.
Seiring kedudukannya Allahyarham sebagai pemimpin yang banyak berjasa,
beliau berkata, majlis pengebumian negeri akan diadakan esok.
"Jenazah Tan Sri Adenan akan dibawa dari kediamannya di Damai Jaya,
Santubong ke Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya untuk majlis penghormatan
terakhir oleh rakyat dan kenamaan pada jam 10.30 pagi.
"Jenazah akan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Samariang, Petra Jaya selepas solat Zuhur," katanya pada sidang
media di sini, sebentar tadi.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas dan
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani. Abang Johari
turut menyifatkan kematian Adenan sebagai kehilangan besar kepada negeri
dan negara, lebih-lebih lagi Allahyarham sarat dengan pengalaman.
"Allahyarham mengamalkan konsep kesederhanaan tetapi tegas
memperjuangkan prinsipnya. Sarawak ada dalam jiwanya manakala
Allahyarham adalah pemimpin yang amat dekat di hati rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan