Isnin, 9 Januari 2017

RUU 355: Amanah umpama 'cacing kepanasan', kata PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad menyifatkan Amanah sebagai 'cacing kepanasan' berikutan gesaan mereka yang meminta PAS membahaskan RUU 355 di Parlimen.
 
Mahfodz merujuk sikap Amanah yang sebelum ini kerap mengkritik usaha PAS untuk membawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, selain kemudiannya tampil dengan RUU alternatif yang didakwa 'lebih baik' dari apa yang dibawa PAS. 
 
"Mereka seperti cacing kepanasan. Sikap mereka sekarang (ialah) apa yang dilakukan oleh PAS kesemuanya salah. Apabila kita bentang RUU 355 mereka juga bentang RUU alternatif. Apa hak mereka? 
 
"Jika diluluskan nanti pun, yang akan mula laksanakan RUU 355 ini di Kelantan. Amanah mana ada negeri yang sibuk-sibuk begitu? Konon hendak bentangkan RUU mereka lebih baik, namun mujur tidak dapat kelulusan Parlimen," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata parlimen merupakan pentas yang sesuai untuk PAS membahaskan RUU 355 itu sebagai usahanya memberikan kefahaman lanjut berkenaan usahanya memartabatkan bidang kuasa mahkamah syariah.
 
Respon itu diberikan selepas PAS pada kelmarin mengumumkan penganjuran Himpunan 355 pada 18 Februari depan untuk memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya yang beragama Islam tentang hasrat partinya.
 
Usul pindaan akta itu akan dibahaskan di parlimen pada sesi akan datang selepas mendapat laluan daripada pihak kerajaan.
 
Usul yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertujuan menambah hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.
 
"Ketika mereka termasuk Salahuddin dan pemimpin Amanah ketika berada dalam PAS suatu ketika dahulu, sebenarnya dia yang mencadangkan (supaya PAS) bawa RUU dalam bentuk RUU 355.
 
"Jangan dibawa usul hudud Kelantan dan Perkara 76a, kerana jika kita teruskan tidak akan mendapat kelulusan majoriti dua per tiga. Maka mereka cadangkan RUU 355 dan boleh luluskan kerana boleh dapat majoriti mudah," demikian menurut Mahfodz lagi

Tiada ulasan: