Isnin, 9 Januari 2017

Himpunan RUU 355: MCA, Tiong Lai cuba pecah belah kaum

Isma Web 


Pengerusi UMMAT, Aminuddin Yahaya. - Gambar fail Isma Web
Pengerusi UMMAT, Aminuddin Yahaya. – Gambar fail Isma Web

Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (Ummat) menyelar kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyifatkan Himpunan RUU355 pada 18 Februari depan mencetuskan perpecahan kaum.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, dakwaan Liow dianggap atas dasar kepentingan politik semata-mata dan sengaja menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat Malaysia khususnya orang bukan Islam.

Malah bidasnya, Liow juga dilihat sengaja mencetuskan provokasi kaum terhadap penganjuran itu yang langsung tidak menyentuh dan menganggu hak orang bukan Islam di negara ini.

“Liow dan beberapa pengikutnya yang sebenarnya menimbulkan perpecahan antara kaum kerana penganjuran Himpunan RUU355 bukan bertujuan untuk memusnahkan orang bukan Islam di Malaysia.

“Namun, Liow mereka-reka perkara ini, maka dia lah sebenarnya pihak yang cuba memecahbelahkan kaum,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Liow dilaporkan akan menentang perhimpunan mega yang dianjurkan oleh PAS itu ekoran menyifatkan ia bakal menjadi penyebab kepada perpecahan di negara ini.

Liow turut mengulangi pendirian partinya, MCA yang berterusan menentang pindaan akta yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei tahun lepas.

Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata, MCA sehingga kini masih tidak memahami tujuan akta itu dipinda meskipun berulang kali dijelaskan, ianya tidak membabitkan orang bukan Islam.

“Disebabkan agenda politik, dia (Liow) membuat kenyataan dan dakwaan seperti itu…..menentang penganjuran perhimpunan berkenaan bermakna mereka tidak memahami undang-undang dan hak kebebasan orang Islam.

“Kita bukan mahu menimbulkan huru-hara seperti perhimpunan Bersih dan Baju Merah sebelum ini. Kalau orang bukan Islam mempunyai hak tertentu dan bebas, kenapa pula mahu disekat kebebasan dan hak orang Islam. Jadi saya rasa cukuplah bagi Tiong Lai untuk buat kenyataan seperti ini,” katanya.

Himpunan dengan bertemakan warna ungu itu dijangka diadakan di Dataran Merdeka bagi meningkatkan kesedaran dan menghidupkan sokongan rakyat khususnya orang Islam di Malaysia terhadap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Tiada ulasan: